Lebih 10,000 pelajar tidak duduki SPM ditawar ikuti TVET
LEBIH 10,000 pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini ditawarkan untuk menyertai mana-mana kursus program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) di seluruh negara demi masa hadapan mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran berkenaan diberikan kepada mereka yang mempunyai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Katanya, tawaran juga ditawarkan kepada 1.16 juta pekerja gig iaitu e-hailing dan p-hailing bagi meningkatkan produktiviti mereka.
“Saya fikir semua (yang tidak duduki SPM tersebut) mempunyai kemahiran minimum dan kita tawarkan mereka menerusi kursus TVET itu agar masa depan mereka lebih terjamin.
“Begitu juga kepada kepada 1.16 juta pekerja p-hailing dan e-hailing dan kita tawarkan ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ apabila melepasi umur tertentu, produktiviti mereka menurun dan masuk kursus TVET untuk masa depan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sambutan Hari TVET Negara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menggalakkan 11,173 pelajar yang mendapat semua A memilih TVET kerana peluang memasuki kolej dan universiti TVET juga ada.
Jelasnya, ketika ini terdapat lima Universiti TVET termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
“Kita dapati ianya (pelajar cemerlang ini) akan memendekkan tempoh kursus memandangkan mereka cemerlang dalam akademik. Permohonan boleh dibuat secara atas talian UP_TVET dengan lebih 4,000 kursus dan kita berikan 10 pilihan dengan memastikan setiap permohonan ini akan dapat tempat,” katanya.
Beliau juga menegaskan setakat ini terdapat 250,000 tempat dengan potensi lepasan SPM menyertai TVET adalah seramai 280,000 yang akan memohon.
“Kita berharap pengambilan pertama bulan Julai ini akan dapat menyerapkan 40 peratus memasuki TVET. Kita juga berharap ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak mereka memasuki TVET yang menjanjikan peluang pekerjaan dan gaji tinggi,” katanya.
Sementara itu, lebih 10,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari TVET Negara, semalam.
Ahmad Zahid berkata, jumlah itu dijangka akan terus meningkat pada hari kedua (Sabtu) yang mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir merasmikan Dasar TVET Negara 2030.
Kredit – HMetro