Ekonomi

LBS capai sasaran jualan hartanah 2021

KUMPULAN LBS Bina Berhad (“LBS atau “Syarikat”) menjangkakan pencapaian yang lebih baik di tahun 2022. Pada tahun 2021, LBS telah melepasi sasaran jualan RM1.2 bilion dengan jumlah jualan yang diraih pada penghujung tahun sebanyak RM 1.575 juta.

Pada taklimat media tahunan LBS yang diadakan hari ini, Syarikat mengumumkan rancangannya untuk melancarkan 14 projek baharu pada 2022 – yang bakal meliputi kawasan Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak – berjumlah 3,733 unit dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.77 bilion.

Secara keseluruhan bagi Lembah Klang, yang menyumbang jualan tertinggi 2021, LBS berhasrat melancarkan 2,604 unit hartanah dengan jumlah GDV RM1.11 bilion.

Khusus bagi perbandaran KITA @ Cybersouth, LBS akan melancarkan 2,128 unit hartanah dengan nilai GDV sebanyak RM853 juta dengan menyasar untuk membangunkan pangsapuri servis KITA Sejati, rumah teres satu dan dua tingkat di KITA Bestari serta rumah bandar dua tingkat pada tahun 2022.

LBS turut merancang untuk melancarkan fasa baharu pangsapuri servis Melodi Perdana di perbandaran LBS Alam Perdana yang terdiri daripada 321 unit hartanah dengan jumlah GDV sebanyak RM120 juta serta sejumlah 155 unit Astella di D’Island Residence dengan jumlah GDV RM132 juta.

Bagi kawasan lain, projek baharu termasuk pangsapuri Bayu Hills di Genting Highlands (642 unit dengan jumlah GDV RM492 juta); rumah kluster satu tingkat di Taman Kinding Flora dan rumah teres di Chemor, Perak (248 unit dengan jumlah GDV RM 64 juta), rumah teres satu tingkat Emerald Garden 3, rumah Semi-D dua tingkat Royal Garden dan rumah teres dua tingkat di Laman Bayu 4, Bandar Putera Indah, Johor. (239 unit dengan jumlah GDV RM108 juta)

Sebagai perbandingan, pada 2021 LBS telah melancarkan sejumlah 3,344 unit hartanah bernilai RM1.6 bilion. Pelancaran ini merentasi pembangunan di Lembah Klang merangkumi KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Bukit Jalil dan Prestige Residence di Seri Kembangan. Pelancaran lain termasuk rumah teres di perbandaran Bandar Putera Indah di Batu Pahat dan fasa baharu di Taman Kinding Flora, Chemor.

LBS turut menyokong penuh inisiatif Kerajaan Selangor bagi segmen pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat. Ini dibuktikan menerusi usaha sama LBS dengan Kerajaan Negeri Selangor di dalam membangunkan projek MBI Rumah Selangorku Idaman dengan pembinaan 7,210 rumah mampu milik di 6 lokasi, dengan jumlah GDV sebanyak RM2.01 bilion.

Pada 2022,  LBS turut menyasar untuk melancarkan 4 buah projek Rumah Selangorku Idaman MBI iaitu Idaman BSP (Bandar Saujana Putra), Idaman Cahaya (Shah Alam), Idaman Sari (Puchong) dan Idaman Melur (Cybersouth).

Manakala, pembinaan bagi Idaman KITA (Cybersouth) dan Idaman Perdana (Bandar Puncak Alam) dijadual untuk dilancarkan pada 2023.

Ketika ini, LBS mempunyai 18 buah projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran GDV sebanyak RM5.3 bilion.

Sehingga 31 Disember 2021, simpanan tanah masa depan LBS dianggarkan berjumlah 2,744 ekar, dengan unjuran bagi memastikan Syarikat kekal relevan untuk tempoh 10 hingga 15 tahun.

Di samping itu, LBS mempunyai jualan belum dibil kira-kira RM 2.304 bilion, dijangka memberikan impak pendapatan yang jelas untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Di sebalik cabaran pandemik 2021, LBS berjaya memperoleh jualan hartanah yang kukuh dengan bantuan inisiatif pemasaran digital, penggunaan sistem pratuang IBS, dan pembangunan Laman Hartanah Maya serta pelancaran beberapa kempen digital seperti Ox-picious 8, Raikan Rezeki Bersama LBS, Vacci-Nation Bonanza dan Cabutan
Bertuah Fabulous 20-21.

Usai taklimat media, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, “LBS mencatatkan prestasi yang  memberangsangkan pada 2021 walaupun ianya merupakan tahun yang sukar bagi kebanyakan perniagaan.

Bukan sahaja kami telah melepasi sasaran jualan hartanah 2021 sebanyak 31%, kami juga berjaya menyerahkan milikan kosong sebanyak 2,570 unit dengan nilai RM1.3 bilion. Ianya amat bermakna apabila kami berupaya menyediakan rumah mampu milik kepada masyarakat dan melihat wajah-wajah gembira apabila menerima
kunci rumah baharu mereka.

Melangkah ke hadapan, LBS kekal mengadaptasi norma baharu di samping menerapkan pendigitalan dalam perniagaan serta bekerja keras untuk mencapai matlamat kami.

Bagi memulakan tahun ini, LBS telah melancarkan kempen 'Bring Happiness Home', yang bakal
memberi ganjaran Angpau Tahun Baru Cina sebanyak RM438,888 kepada pembeli rumah dari 1 Januari 2022 hingga 28 Februari 2022.

Di bawah kempen ini, kami turut menawarkan pakej perabot, yuran tempahan yang rendah, ganjaran kesetiaan, skim pembayaran flexi dan yuran keluar sifar.

Di samping itu, kami akan mengenepikan yuran guaman dan duti setem ke atas perjanjian pinjaman bagi semua pembeli rumah apabila mereka membeli hartanah kediaman LBS yang terpilih.

Sebagai Pemaju Rakyat, kami terus komited untuk menyokong inisiatif perumahan kerajaan dan berharap para pembeli rumah terdorong untuk memiliki rumah seiring dengan usaha kami.

Sementara itu, peningkatan nilai pemegang kepentingan tetap menjadi keutamaan dan kami akan terus mengekalkan dasar dividen dengan kadar pembayaran sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan selepas cukai. Kami optimis dan berharap agar pemegang saham akan teguh bersama kami.

Untuk maklumat lanjut mengenai projek-projek LBS, layari https://lbs.com.my/ .

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button