Nasionalpilihan

Lawatan Ahmad Zahid ke China beri impak positif kepada landskap TVET negara

Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China yang bermula pada 22 Mei lalu hingga 1 Jun ini, memberi impak positif kepada landskap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.

Memetik BERNAMA, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan, berkata ini terbukti kerana Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) cukup komited melaksanakan penghantaran bakat TVET tempatan ke China menerusi Malaysia-China Institute (MCI) yang diumumkannya tahun lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini dalam lawatan rasmi pertamanya ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan itu atas jemputan Naib Perdana Menteri China, Ding Xuexiang.
Mohammad Rizan berkata, penghantaran bakat TVET tempatan ke China adalah bersifat latihan jangka pendek dan panjang melalui inisiatif Malaysia-China Youth TVET Training.

“Untuk rekod, sehingga bulan ini 850 orang telah menjalani latihan di beberapa Institusi TVET China dalam bidang seperti Teknologi Keretapi, Robotik, Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IOT), Kenderaan Elektrik (EV), Multimedia Animasi, E-Commerce dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia dan China melihat kemajuan ketara dalam pelbagai sektor, termasuk pertukaran ekonomi, teknologi dan budaya, bagaimanapun masih ada potensi kerjasama yang belum diterokai sepenuhnya dalam bidang TVET seperti menggalakkan kerjasama menangani permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja mahir dalam industri utama seperti pembuatan, kejuruteraan dan teknologi

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button