Larangan solat di masjid di Selangor dilanjut 30 Jun kecuali 39 masjid
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tempoh larangan bagi mengerjakan solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau di negeri itu dilanjutkan sehingga 30 Jun.
Larangan itu bagaimanapun tidak membabitkan 39 buah masjid yang telah dibenarkan sebelum ini untuk melakukan Solat Jumaat dengan jumlah bilangan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin masih bimbang dengan risiko jangkitan jika kawalan dilonggarkan mengakibatkan nyawa rakyat Selangor akan turut terancam.
“Justeru itu, dengan perasaan berat hati, baginda memutuskan agar tempoh larangan bagi mengerjakan solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid-masjid dan surau-surau dilanjutkan sehingga 30 Jun kecuali di 39 buah masjid yang telah dibenarkan sebelum ini.
“Walau bagaimanapun, sebagai melaksanakan tuntutan fardhu kifayah, azan waktu solat akan tetap berkumandang dan solat fardhu lima waktu tetap dilakukan oleh seramai 3 orang yang terdiri daripada imam, bilal dan siak di masjid-masjid dan surau-surau di Negeri Selangor,” kata Mohamad Munir.
Menurut Mohamad Munir, semakan semula akan dilakukan selepas minggu pertama bulan ini.
Sekiranya penularan wabak Covid-19 menurun secara konsisten maka pertimbangan akan dibuat bagi membolehkan jumlah jemaah Solat Jumaat ditambah.
Menurut beliau, sekiranya keadaan mengizinkan, masjid-masjid juga akan dibuka lebih awal bagi mendirikan solat Jumaat secara berperingkat khususnya di kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai zon hijau.
“Bagi memastikan keadaan pulih dan umat Islam boleh kembali mengimarahkan masjid-masjid, Sultan Selangor menyeru agar rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup muka.
“Mematuhi setiap arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak Jabatan Agama Islam Selangor,” kata Mohamad Munir.-SM