Laporan fasa-3 ujian klinikal vaksin Covid diterima minggu depan
MALAYSIA akan menerima laporan fasa ketiga ujian klinikal keberkesanan vaksin Covid-19 daripada salah sebuah syarikat pengeluar vaksin minggu depan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, syarikat berkenaan merupakan salah sebuah 10 syarikat yang sedang berunding dengan Malaysia bagi pembekalan vaksin.
“Kita dapati ada 12 syarikat vaksin yang menjalankan kajian fasa ketiga penyelidikan. Jadi kita berjaya dalam rundingan dengan 10 syarikat vaksin dan kita dimaklumkan salah satu syarikat vaksin itu besar kemungkinan akan melaporkan ataupun memberikan laporan fasa ketiga kajian klinikal tersebut pada minggu depan.
“Kita masih menunggu untuk kita baca dan juga mereka kena hantar dos-dos tersebut kepada NPRA atau FDA untuk dapatkan pendaftaran vaksin tersebut. Selagi tidak ada pendaftaran, tidak boleh jual vaksin tersebut kepada Malaysia,” kata Dr. Noor Hisham.
Menurutnya, Malaysia mengadakan rundingan awal dengan syarikat terbabit walapun vaksin yang dihasilkan masih belum didaftarkan dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.
Negara tidak mahu berhadapan kesukaran mendapatkan bekalan vaksin seperti yang dialami ketika mahu mendapatkan bekalan alatan ventilator dan PPE ketika Malaysia berhadapan gelombang kedua jangkitan Covid-19.
“Inilah rundingan awal yang kita jalankan untuk dapatkan vaksin. Kebimbangan kita ialah apabila vaksin tersebut telahpun didaftarkan maka akan terjadi ketika gelombang kedua apabila kita nak beli ventilator dan PPE tak cukup. Semua negara nak beli.
“Sekurang-kurangnya kita sudah ada tempahan ataupun perjanjian untuk dapatkan bekalan vaksin tersebut. Inilah mtindakan pro-aktif kita. Kita belajar daripada gelombang kedua. Semua nak beli ventilator dan PPE. Kita akan melambatkan untuk memperoleh vaksin tersebut,” jelas Dr. Noor Hisham dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, KKM telah telah gariskan lima panduan pengurusan vaksin iaitu pendaftaran, pembekalan, pemberian, pemantauan dan penilaian atau 5P. Setiap vaksin yang akan dibeli oleh negara wajib didaftarkan dengan FDA dan NPRA.
Peringkat kedua pengurusan melihat kepada pembekalan dan perolehan.
Pringkat ketiga pemberian vaksin kepada 30 peratus penduduk iaitu 20 peratus dengan vaksin yang dikeluarkan oleh Pfizer Inc. dan 10 peratus dengan Covax
“Ini kita akan gariskan keutamaan kepada petugas kesihatan, kumpulan rentan. Kita akan buat garis panduan memberi vaksin tersebut kepada kumpulan sasar.
“Keempat Pemantauan. Kita akan menilai kesan samping vaksin tersebut. Kalau ada mereka yang menerima vaksin mempunyai kesan samping dan sebagainya kena laporkan kepada kita.
“Kelima lihat kepada keseluruhan keberkesanan vaksin sama ada dapat mencapai imuniti kelompok kita. Jadi imuniti kelompok kita sasarkan mungkin 70 hingga 80 peratus dan diharapkan mencukupi untuk kita dapatkan imuniti kelompok,” kata Dr. Noor Hisham.
Malaysia mungkin tidak akan mengguna vaksin yang dikeluarkan oleh satu syarikat sahaja. Negara akan melihat keberkesanan setiap vaksin yang digunakan dengan pemantauan dan penilaian dijalankan secara berterusan.-SM