Nasional

Lapan warga asing jadi pelacur ditahan

Polis menahan lapan wanita warga asing yang melakukan kegiatan persundalan menerusi serbuan di sebuah hotel di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, tengah malam tadi.

Serbuan pada pukul 12.15 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kesemua wanita warga asing yang ditahan berusia antara 24 tahun dan 34 tahun itu terdiri daripada lima wanita dari Indonesia, dua dari Thailand dan seorang dari Vietnam.

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan dua warga tempatan termasuk seorang wanita dipercayai pengurus hotel berkenaan bagi membantu siasatan.

“Serbuan turut merampas dua keping jadual kerja dan pendapatan pelacur, satu telefon pintar, kad akses bilik hotel dan 30 kondom,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein memberitahu, semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Cheras untuk proses dokumentasi.

“Dua warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan manakala wanita warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button