Pelbagai ulasan dan komen mengenai kekalahan PH di Tanjung Piai, tetapi terdapat satu ulasan yang menarik di tulis di dalam Harakah Daily.
Di sini admin tuangkan seluruh artikel berkenaan yang menarik untuk dibaca.
PH tertampar malu di Tg Piai
Tanjung Piai telah memilih! Sakit tuh disini bagi pemimpin PH yang dilena diulit intan serta berselimut dengan denial syndrome yang menebal. Semenjak daripada awal kempen PRK ini serta membaca status-status pemain medsos , juga disukat dengan aura himpunan politik maka momentumnya jelas terpancar PH akan tewas lagi dalam PRK ini.
Cuma seingat penulis himpunan dua malam terakhir kempen PH yang menurunkan figura besar mereka barulah nampak banjiran khalayak, namun dibilas balik oleh jentera BN dengan kehadiran puluhan ribu manusia kepentas Perpaduan Ummah Tanjung Piai.
Banyak alasan dan faktor mengapa PH kalah teruk dalam PRK kali ini serta isyarat jelas mereka hanya berbaki dua tahun ini ditampuk kekuasaan . Pertama, Kerakusan untuk mempertahankan pengaruh PH maka kelihatan mereka melanggar apa sahaja peraturan Pilihanraya, menyalurkan bantuan dan sumbangan semasa kempen berjalan seolah sebagai Menteri mereka kebal undang-undang. Bila ditegur oleh pembangkang dan warga prihatin lihatlah jawaban balas Menteri Pertanian, sangat menjengkelkan dan bernada arogan.
Faktor kedua, pemimpin PH tanpa sepicing rasa malu dan rasa bersalah terus menggugut rakyat agar menyokong mereka , melakukan intimidasi berterusan . Mereka cuba bermain digelanggang yang tidak sama rata diantara mereka dan pembangkang,sedangkan merekalah yang memotori gerakan BERSIH pada suatu ketika dahulu. Video-video lama aksi kekasaran penyokong PH diviralkan kembali oleh netizen untuk memancing rasa marah pengundi kepada kerajaan PH.
Faktor ketiga, PRK Tanjung Piai berlangsung dalam kehangatan usaha kempen untuk menurunkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, pertembungan dalaman PKR yang tak mampu disembunyikan, lihatlah isu perasmi kepada Mesyuarat Sayap Pemuda Nasional PKR dan juga isu kekasaran kepada Ketua Wanita PKR Terengganu kelmarin . Kemaruk kuasa DAP di Perak tak dapat ditutup dengan tudung saji, obsesi kuasa untuk menduduki tampuk MB sangat memualkan .
Belum lagi disorot keberantakan pemilihan PAN diseluruh negara dengan menyaksikan kerusi terbang dan adengan bertumbuk sesama ahli. PAN yang didakwa kelompok profesional yang meninggalkan PAS, tak mampu menguruskan mesyuarat dan pemilihan parti mereka. Lihat sahaja Mesyuarat pemilihan mereka bagi kawasan Pengkalan Chepa terpaksa diadakan untuk kali ketiga!.
Faktor keempat, Umno dan PAS (Muafakat Nasional) walaupun pada awalnya agak tersentak dengan pemilihan calon MCA tetapi akhirnya boleh mengenepikan sentimen tersebut dan mengambil jalan bertolak ansur untuk kemenangan jangka panjang iaitu memenangi PRU 15. Keistimewaan kedua parti lama ini ialah orientasi dan pola kepatuhan pengikut mereka kepada arahan kepimpinan. Penyokong PAS paling terkesan kerana parti lebai ini paling teruk dihentam oleh pemimpin PH berbanding calon MCA itu sendiri.
Faktor kelima ialah masyarakat Cina juga terkesan dengan ketidakcekapan PH dalam pemerintahan. Mereka mahu mengajar PH yang masih bermentaliti pembangkang, merasa tidak berpuas hati dengan prestasi PH terutama parti DAP itu sendiri.
Selain isu ketegangan kaum serta kerapuhan komunal , mereka juga mahu bertindak menghantar isyarat yang jelas agar ekonomi negara perlu direjuvenasi dengan pantas. Nilai ringgit yang merudum, kemerosotan FDI negara ini berbanding negara jiran serta isu kepentingan etnik Cina seperti peruntukan untuk Kolej Universiti Tuanku Abdul Rahman milik MCA yang telah dipotong oleh Menteri Kewangan juga mengguris nurani mereka.
Paling mengejutkan PRK kali ini adalah BN berjaya menguasai semula undi kaum muda Cina, walhal anak mudalah yang paling vokal menentang BN sebelum ini. Contohnya Dr Wee menang saluran tujuh di SJK (C) Cheow Min dengan majoriti 30 undi (BN 169 PH 139). Sangat kontradik dengan keputusan 9 Mei 2018 , dimana SJKC ini adalah salah satu pusat mengundi di PDM Kampong Duku yang menyaksikan calon PH menang bergaya pada PRU14 dipeti undi orang muda.
Faktor keenam ialah protes besar-besaran anak-anak muda seluruh bangsa terhadap PH. Bayangkan hampir kesemua saluran mengundi orang muda dimenangi oleh BN dalam PRK ini.
Sebagai contoh, saluran 7 Sekolah Kebangsaan Pekan Nenas yang sebelum ini dikuasai oleh PH pada 9 Mei tahun lepas telah berjaya dirampas dengan majoriti 33 undi (BN 182 PH 149). Kelompok anak muda paling terjejas dengan kegagalan kerajaan PH, terasa dikencingi manifesto, kekurangan peluang pekerjaan, kos sara hidup yang mencanak, terasa dibodohkan oleh dasar-dasar kerajaan yang mesra cukong berbanding rakyat jembel.
Faktor ketujuh ialah Undi penyokong PAS adalah “disedekahkan “kepada BN serta kekompakan jentera PAS yang datang daripada seluruh negara. Gelombang hijau petugas PAS menarik undi orang Melayu menyokong BN serta mematikan tuduhan bahawa Muafakat Nasional adalah rasis dan menindas orang bukan Islam.
Momokon gabungan ini seperti Toliban seperti membalikkan kesan boomerang kepada PH. Andaian dangkal Mohd Sabu bahawa tiga ribu penyokong PAS akan beralih undi juga tidak berasas.
Aksi badut Presiden PAN dipentas mega PH juga mengundang bala yang tak sedikit kesannya pada PH. Satu kesilapan besar apabila Mohd Sabu menghina serta memperolokkan Tuan Guru Presiden PAS dalam siri ceramah mega PH.
Video ceramah beliau ” mengajuk” Tuan Guru Presiden PAS telah viral dan memancing emosi penyokong PAS di Tanjung Piai sehingga rasa meluat dan menyampah itu mereka terjemaahkan pada kertas undi. Mengukur kekuatan aura,karisma, kompetensi,keintelektualan, kewarakan Tok Guru dan Mat Sabu seperti mengukur jarak Hulu Besut ke Kota Raja !. Tiada bandingan dan Mohd Sabu wajar bercermin apakah jasanya pada bangsa dan agama semenjak menjadi MenHan. Kosong!.
Faktor kelapan, BN menang cemerlang kali ini kerana rangkaian sinergi dan muafakat yang kukuh diantara parti-parti pembangkang dan jaringan sivil. Kempen yang berfokus , simpati rakyat dengan kegigihan jentera kempen, simpati malah populariti terhadap DS Najib Razak, orientasi program kempen yang tidak bersifat etnosentrik antara menyumbang kepada keberkesanan kempen Tanjung Piai.
Kesimpulannya, Tanjung Piai akan merencahkan formula kemenangan untuk mengambilalih pemerintahan negara pada PRU 15. Dalam persaingan politik jangka panjang, semua pertimbangan risiko perlu diambil kira dan diperhitungkan.
Unjuran strategik dan kerjasama berdasarkan realiti semasa untuk mengambil alih pemerintahan Malaysia wajar dilihat juga komposisi demografi negara ini. 25 peratus atau paling kurang 20 peratus undi kaum Cina perlu dikembalikan pada jalur sederhana real politik. Muafakat Nasional wajib merengkuh sokongan rakyat terbanyak dengan politik idea dan keteladanan.
Dr Riduan Mohamad Nor
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)