Politik

Lantik tokoh berintegriti pimpin negara jika berlaku darurat – Wira PUTRA

Susulan pertemuan PM dengan Agong

KETUA Pergerakan Wira PUTRA Malaysia Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menyarankan, sekiranya berlaku darurat, dilantik pemimpin negara yang berintegriti.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada SUARA MERDEKA sebentar tadi berdasarkan pertemuan di antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di  Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota, Pahang sekitar pukul 4.45 petang tadi.

Pertemuan Muhyiddin dengan Agong seperti dikhabarkan dan pengisytiharan darurat yang kemungkinan bakal diwartakan sudah menjadi bualan orang ramai dan mula menimbulkan persepsi yang pelbagai, kata Nasrul Ali.

Namun begitu, Wira PUTRA kekal dengan pendirian sebelumnya untuk negara diisytihar darurat bagi menangani wabak Covid-19 dan menyelasaikan ketegangan politik yang tidak membawa keuntungan kepada negara.

Sehubungan itu, kata beliau, Wira PUTRA mohon perkenan ke bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara, melihat keadaan yang berlaku hari ini dengan amat serius sebelum keadaan ekonomi negara dan kesejahteraan serta keselamatan rakyat menjadi lebih buruk.

“Walaubagaimanapun Wira PUTRA menyarankan agar seorang calon tokoh yang berintegriti, berwibawa dan negarawan yang dihormati dan diterima oleh semua pihak dilantik bagi memimpin dan memperkasakan kembali ekonomi dan membawa kestabilan politik.

“Jika tidak, tindakan mengisytihar darurat atau apa jua nama seumpamanya dengan mengekalkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan mewujudkan perspektif kurang senang,” kata Nasrul Ali.

Beliau menambah, pelaksanaan langkah darurat sewajarnya adalah sebagai satu langkah melakukan pembetulan dan penambahbaikan pada sektor ekonomi dan keselamatan negara, bukannya kerana motif kepentingan politik mana-mana pihak.

Katanya, pengajaran yang baik perlu ditauladani generasi masa depan supaya kualiti pemimpin muda akan terus mencerminkan sikap ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menangani sebarang isu yang kritikal seperti yang berlaku pada masa ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button