Politik

Langkah Mahathir angkat Muhyiddin sebagai PM8

SEMUA kerana langkah yang diambil oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Ke-8 (PM).

Andai kata, Dr Mahathir tidak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu, tentunya beliau masih lagi mengetuai pentadbiran negara ini.

Tetapi, Dr. Mahathir nekad mengambil langkah melepaskan jawatan itu, tanpa menamakan siapa penggantinya selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Tiada siapa tahu niat beliau melepaskan jawatan ketika itu. Mungkin untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri. Sebab itu tidak dinamakan pengganti. Atau sengaja untuk test market, meraih simpati untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sekali lagi.

Seterusnya ia disusuli dengan langkah Dr. Mahathir melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, meletakkan kedudukan beliau tanpa mengetaui mana-mana parti.

Langkah Dr. Mahathir itu disusuli pula dengan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari Pakatan Harapan (PH) menjadikan pakatan itu tanpa sokongan majoriti untuk terus kekal sebagai kerajaan.

Tindakan itu juga menyebabkan PH tidak mempunyai jumlah sokongan yang cukup untuk mencadangkan Anwar sebagai PM8.

Maka bermulalah tawar-menawar dan pancing-memancing untuk mendapat sokongan.

Anwar yang yakin PH mampu untuk membentuk semula kerajaan mengumumkan bahawa beliau yang dipilih oleh PH sebagai calon PM. Ini disokong penuh oleh para pemimpin PH yang lain.

Selepas itu apabila mereka melihat Anwar tidak mampu mendapatkan sokongan majoriti mudah untuk membolehkan beliau menjadi PM8, mereka kembali menyokong Dr. Mahathir sebagai PM8. Kembali menyatakan sokongan penuh.

Kemudiannya Dr. Mahathir yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu kembali pula memegang jawatan itu.

Semua drama ini akhirnya memerlukan campur tangan Yang di-Pertuan Agong, termasuklah memanggil seorang demi seorang ahli parlimen bagi mengenal pasti siapa yang mereka sokong.

Itupun tidak mampu menyelesaikan kemelut berkenaan kerana gagal mendapatkan angka majoriti sehinggalah pada hari Sabtu apabila Muhyiddin disokong untuk menjadi PM8.

Yang pasti semua itu bermula hasil daripada langkah Dr. Mahathir. Tidak ada siapa yang tahu apa berlaku pada mesyuarat Majlis Presiden PH hingga mendorong Dr. Mahathir bertindak meletak jawatan.

Nyata, tindakan Dr. Mahathir itu akhirnya merugikan PH yang hilang kuasa untuk memerintah negara. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button