Langgar kuarantin: Khairuddin minta Peguam Negara umum hasil siasatan
MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini secara terbuka meminta Peguam Negara mengumumkan hasil siasatan kes melanggar arahan kuarantin wajib terhadap beliau.
Katanya hingga kini beliau belum menerima maklumat berhubung perkembangan terkini kes tersebut.
“Saya tunggu Peguam Negara mengumumkan apa hasil siasatan kes dan kemudian barulah timbul soal dakwa atau tidak. Saya juga serah kepada kerajaan untuk bertindak ke atas saya sekiranya saya ada membuat kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan ventilator dan pelitup muka kepada Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di Seremban hari ini.
Pada 30 Sept lalu, dilaporkan polis sedang memperkemas kertas siasatan berhubung kes itu seperti yang diarahkan oleh Jabatan Peguam Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dipetik berkata kertas siasatan itu akan diserahkan semula kepada Jabatan Peguam Negara apabila proses tersebut selesai.
Mohd Khairuddin sebelum ini berdepan kritikan termasuk desakan agar beliau meletakkan jawatan susulan kegagalannya mematuhi arahan kuarantin wajib mencegah penularan COVID-19 sekembali dari Turki pada Julai lepas.
Mengulas isu lain, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata sekarang bukan masa yang sesuai untuk menukar kerajaan termasuk membubarkan Parlimen.
“Kalau kita nak salahkan orang tak akan selesai masalah kita. Apa yang penting ialah kita bersama-sama menghadapi masalah sekarang untuk kebaikan semua rakyat,” katanya mengulas cadangan seorang ahli akademik hari ini tentang penubuhan kerajaan perpaduan bagi menstabilkan semula politik negara.
Sementara itu mengenai majlis berkenaan, Mohd Khairuddin berkata HTSJ merupakan hospital kelima yang menerima sumbangan ventilator daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).
Sebanyak 20 hospital menerima sumbangan alat bantuan pernafasan berkenaan yang bernilai RM120,000 seunit termasuk Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang, Hospital Selayang serta Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan, katanya. – BERNAMA