Lan Solo tidak mahu komen kes saman fitnah
PENYANYI Lan Solo mengakui bahawa kes saman fitnah Siti Nordiana diserahkan sepenuhnya kepada pihak peguam dan ingin fokus untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, berkata selama ini dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes saman tersebut.
“Alhamdulilah segalanya telah diserahkan kepada peguam kami. Saya pun tidak pernah keluarkan apa-apa kenyataan sampai sekarang.
“Biarlah mahkamah selesaikan dengan baik dan biarlah kebijaksaan mahkamah yang putuskan kerana kami ingin teruskan kehidupan seperti biasa.
“Kami pun ada tanggungjawab masing-masing. Jadi, move on, buat benda baik-baik sahaja,” katanya ketika pelancaran single 5 Kaki 4 Inci, semalam.
Dalam pada itu, menurut Lan, isu ini telah memberi pengajaran kepadanya untuk sentiasa berwaspada dalam melakukan sesuatu perkara.
“Perkara ini memberi kesedaran kepada saya untuk lebih matang dan lebih berhati-hati dalam segalanya tapi apa yang boleh dilakukan adalah terus berkasih sayang dengan semua orang tak kira mereka suka saya atau tidak oleh kerana benda-benda negatif.
“Hidup ini tidak boleh puaskan hati semua orang. Orang yang kenal saya tahu saya jenis yang tidak pernah bersuara apa-apa dan tidak pernah cari pasal dengan sesiapa,” katanya.
Sementara itu, penyanyi Syura Badron berkata kes tersebut telah dibawa ke mahkamah tinggi atas sebab jumlah tuntutan yang dibuat melebihi kapasiti mahkamah seksyen.
“Sekarang ini kes itu daripada mahkamah seksyen bertukar ke mahkamah tinggi atas sebab jumlah tuntutan yang dibuat melebihi kapasiti mahkamah seksyen.
“Sebab itu, peguam membuat permohonan kes itu dipindahkan ke mahkamah tinggi dan permohonon sudah diluluskan tetapi tarikh masih belum ditetapkan.
“Jadi kes ini akan bermula semula daripada awal di mahkamah tinggi bukan bersambung dan tempoh kes ini akan menjadi lebih lama. Sejujurnya saya tidak tahu bila kes ini akan selesai,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran single Lan Solo
Bila ditanya mengenai kes ini akan menjadi lebih panjang, Syura meluahkan perasaannya yang akan menghadapi perkara itu dengan hati yang terbuka.
“Macam mana susah benda itu akan dilalui, kita kena terima dan bersedia dengan apa yang akan berlaku.
“Untuk syura, apa-apa yang berlaku saya terima dengan hati yang terbuka kerana kes ini sudah berlaku selama 6 bulan,” katanya.
Terdahulu, lima sekawan iaitu Lan Solo, isterinya, Nur Shiela Hassim, Syura Badron, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar dan jurusolek artis bebas Razidah Ahmad telah disaman oleh penyanyi Siti Nordiana Alias mengenai dakwaan fitnah di platform media sosial Instagram. -SM