Hiburan

5 Kaki 4 Inci cubaan Lan Solo untuk pasaran muzik Borneo

SERING berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Sabah atas urusan perniagaan telah memberikan idea kepada penyanyi Lan Solo untuk menghasilkan single terbaharu berjudul 5 Kaki 4 Inci.

Lagu tersebut juga merupakan tanda terima kasih kepada semua para peminat terutama sekali kepada warga Borneo yang menyokong perniagaan Solo Borneo Mart yang kini sudah mempunyai dua cawangan iaitu di Bandar Bukit Puchong, Selangor dan Ampang, Kuala Lumpur disamping menjadi salah satu strategi promosi perniagaannya.

“Ini satu penghargaan kepada mereka yang selalu sokong saya terutamanya orang Sabah kerana sepanjang saya melakukan persembahan di Sabah walaupun berbayar, tetap penuh dan tiket selalu habis.

“Bukan nak kata di semanjung tidak begitu tetapi di sana penerimaannya luar biasa. Jadi saya perlu memberi penghargaan kepada mereka.

“Saya juga tidak menafikan lagu itu merupakan salah satu strategi untuk promosi bisnes saya,” katanya ketika pelancaran single 5 Kaki 4 Inci, semalam.

Jelasnya lagi, lagu tersebut menggunakan dialek Bahasa Melayu Sabah dan sedikit Bahasa Dusun Sabah bagi memjadikan lagu tersebut lebih dekat dengan penduduk negeri di bawah bayu itu dan juga warga Borneo yang merantau di semenanjung.

Menurut Lan, ini juga merupakan sebagai langkah seterusnya untuk dia mencuba pasaran muzik Borneo.

“Saya rasa sudah sampai masa saya melebarkan sayap ke pasaran Borneo dengan bahasa dan budaya mereka.

“Besar harapan saya agar lagu ini dapat diterima bukan sahaja warga Borneo tetapi peminat di semenanjung,” katanya.

Lebih membanggakan dengan terhasilnya lagu ini, Lan Solo merupakan penyanyi semenanjung pertama yang menyanyikan lagu berkonsepkan sabahan style (Borneo).

Lagu ciptaan Velvet Aduk Lawrence dan lirik gandingan bersama Marsha Milan bergenre poprock ini berkisarkan tentang seorang pemuda yang bekerja sebagai pembantu jurujual di pasar sekitar Kundasang telah jatuh cinta pandang pertama dengan seorang gadis cantik yang berada di pasar tersebut.

Ketinggian gadis itu menjadi antara faktor utama pemuda tersebut jatuh hati dan lantas mencuba untuk memikat hatinya.

Di samping itu, untuk melengkapkan single ini, Lan juga telah menghasilkan sebuah video muzik yang menampilkan Ratu Cantik Sabah (Unduk Ngadau, 2017), Kerinah Mah sebagai model utama. -SM

(Visited 1,081 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button