Laluan LRT Kelana Jaya sekali lagi alami kelewatan
JADI lagi. Pagi tadi, kelewatan di laluan Kelana Jaya mengakibatkan pengguna LRT sekali lagi terkesan dalam kejadian yang berulang hanya dalam tempoh beberapa hari.
RapidKL mengumumkan menerusi platform media sosialnya pada kira-kira pukul 8.45 pagi tadi bahawa laluan itu mengalami kelewatan namun tidak mengulas lanjut.
Dalam kemas kini seterusnya pada pukul 9.15 pagi, RapidKL memaklumkan, ia telah mengembalikan perkhidmatan pada kelajuan biasa dengan frekuensi tren dijangka pulih.
“Terima kasih atas kesabaran anda dan kami mohon maaf atas sebarang kesulitan,” katanya tanpa mengulas lanjut mengenai kejadian itu.
Sementara itu, @Shahrul1289 yang menggunakan Twitter mendakwa sebuah tren di laluan Kelana Jaya tiba-tiba berhenti mengakibatkan beberapa penumpang termasuk dirinya, terjatuh.
“Minta selesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya dalam satu ciapan menyebut @MyRapidKL @AskRapidKL.
Sebagai respons, RapidKL memohon maaf atas kejadian itu dan berkata, kakitangannya telah memeriksa tren tersebut.
Katanya lagi, tiada penumpang mengalami sebarang kecederaan.
Warganet lain mengecam gangguan terbaru di laluan LRT ini dengan pengguna Facebook Reese Ooi menyindir bahawa pengguna membayar untuk membuat perjalanan, bukan untuk dilewatkan.
Yang lain mempersoalkan mengapa isu sebegitu semakin kerap berlaku dan meminta RapidKL dikenakan penalti atas isu yang konsisten ini.
“Apa yang sedang terjadi? Sudah terlalu kerap dalam tempoh beberapa minggu ini. Semua orang perlukan pengangkutan yang boleh diharapkan untuk pergi bekerja,” kata Jane Tan di Facebook.
Kejadian ini menyusuli gangguan di laluan Kelana Jaya Jumaat lepas akibat kebocoran hidraulik angkup brek pada tren LRT, menjejaskan 22,100 penumpang pada waktu puncak di hujung hari bekerja.
Kejadian ini juga dilaporkan sebagai kegagalan tren ketiga di laluan LRT tersebut dalam tempoh kira-kira dua minggu. – SM