Pada 20 Februari 1956 kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diumumkan di Padang Banda Hilir, Melaka.
Detik bersejarah itu apabila Tunku Abdul Rahman mengumumkan bahawa menurut perjanjian kemerdekaan yang ditandatangani pada 8 Februari 1956, Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan secara rasmi
pada 31 Ogos 1957.
Pengumuman mengenai perkara itu dibuat Tunku Abdul Rahman sejurus rombongan yang diketuainya tiba dari London di Lapangan Terbang Batu Berendam.
Rombongan itu disambut meriah diarak oleh sepasukan pemuda bermotosikal dan berpuluh-puluh buah kereta dari Lapangan Terbang Batu Berendam hingga ke Padang Banda Hilir.
Pekikan ‘Merdeka’ bergema di Padang Banda Hilir dihadiri kira-kira 100,000 orang yang datang dari seluruh pelosok negara.
Detik sejarah tersebut akan dilakonkan semula sempena sambutan Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Bandar Hilir pada 20 Februari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, lakonan semula babak sejarah ketibaan Tunku Abdul Rahman di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir itu akan bermula pukul 4.00 petang.
Menurutnya, perarakan yang menggunakan kereta bernombor pendaftaran M4442 iaitu kereta yang sama dinaiki Tunku Abdul Rahman sewaktu tiba dari London di Lapangan Terbang Batu Berendam.
“Majlis bermula dengan perarakan oleh Kereta Tunku M4442 bersama rombongan, seterusnya diadakan pembacaan Watikah Kemerdekaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disusuli dengan bacaan yasin serta tahlil.
“Pada pukul 6.00 petang pula, bertempat di perkarangan Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, acara diteruskan dengan Malam Aneka Warna menampilkan persembahan teater muzikal bertajuk `Di Atas Runtuhan Kota
Melaka Kita Dirikan Negara Baru,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan timbalannya, Datuk Zaidi Attan serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Saari Basiron.
Ab Rauf berharap masyarakat dalam dan luar Melaka untuk sama-sama menghayati sejarah bermulanya kemerdekaan negara yang hanya diadakan di Melaka.
Serentak dengan itu katanya, kerajaan negeri menawarkan kepada pelancong yang berkunjung ke negeri itu untuk masuk dan menggunakan kemudahan secara percuma di 10 tarikan pelancongan sempena sambutan itu pada 20 Februari ini.
Katanya, pada hari berkenaan orang ramai akan turut menikmati parkir percuma di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.
Jelasnya, kemasukan percuma itu membabitkan perkhidmatan Melaka River Cruise menerusi penyediaan 15 bot di tiga jeti iaitu Jeti Pengkalan Rama, Jeti Taman Rempah dan Jeti Muara.
Turut menawarkan masuk percuma ialah Menara Taming Sari (9 pagi hingga 5 petang); 21 muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) (9 pagi hingga 5 petang); Zoo Melaka (10 pagi hingga 5 petang) dan Balai Cerap Al-Khawarizmi (9 pagi hingga 5 petang).
Turut sama Melaka Wonderland & Themepark (6 petang hingga 10 malam), Taman Laut Negeri Melaka (kos aktiviti menyelam sahaja), lima kelab golf Melaka (percuma green fee), Muzium Penjara Malaysia Melaka (9 pagi hingga 5 petang) dan Malaysia Heritage Studios (10 pagi hingga 6
petang)
“Tawaran dibuat berikutan 20 Februari adalah tarikh istimewa dan cuti umum di Melaka sekali gus kerajaan negeri berhasrat meraikannya bersama penduduk serta pelancong,” katanya. – SM