Berita

Lagu-lagu berunsur Islam mantapkan penguasaan bahasa Melayu

Dendangan lagu-lagu berunsur keagamaan dalam bahasa Melayu oleh kanak-kanak pada majlis ‘Santai Budaya dan Puisi Islam’ membuatkan hati para hadirin tersentuh.

Sekalipun jauh ratusan batu dari negara asal nenek moyang, tetapi usaha “memfasihkan” diri masing-masing dalam bahasa Melayu dilihat sangat mengkagumkan.

Persembahan oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan ini diadakan pada majlis ‘Santai Budaya dan Puisi Islam’ sempena ‘Penutupan Bengkel Jawi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs)’ yang diadakan di Hotel Aonang Villa Resort Krabi pada sabtu malam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengetuai delegasi MAIPs ke Wilayah Krabi, Thailand menerusi Program Ziarah Mahabbah Sempena Sambutan 100 Tahun MAIPs selama tiga hari dari 10 hingga 12 Januari juga terpegun dengan persembahan kanak-kanak ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Related Articles

Mohd Nazim berkata, pihak MAIPs berbangga kerana dapat bekerjasama dengan sekolah-sekolah agama di Krabi dalam usaha memantapkan lagi penguasaan bahasa Melayu mereka menerusi tulisan jawi.

“Apa yang kita nampak, lebih mudah bila ia diselitkan dengan unsur seni dan budaya Islam untuk lebih fasih seperti yang telah dapat dilihat hasilnya dengan pesembahan oleh para peserta bengkel,” katanya.

Pada majlis berkenaan juga MAIPs turut meraikan sambutan ulangtahun keputeraan Tuanku Syed Faizuddin Putra pada 30 Disember yang lalu bersama dengan para tetamu lain yang kebetulan lahir pada bulan yang sama.

Persembahan lagu berunsur Islam dan puisi, sajak serta gurindam juga turut dipersembahkan oleh kalangan ahli delegasi yang berbakat bagi menyerikan lagi majlis berkenaan.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button