Hiburan

Lagu gubahan Daqmie diangkat jadi lagu nasyid terbaik

LAGU berjudul Ittihad yang digubah oleh Daqmie dan dinyanyikan olej Rabbani diangkat sebagai Lagu Nasyid Terbaik pada Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM 2020) semalam.

Selain itu, pemenang lain ANAM 2020 adalah Kumpulan Inteam bagi Anugerah Nasyid Pilihan; Aniq Muhai (Artis Nasyid Baharu Pilihan); Nissa Sabyan (Nasyid Nusantara Pilihan); Sakit (Rakaman Lagu Nasyid Terbaik); Omar K (Susunan Muzik Nasyid Terbaik); Rabbani (Vokal Nasyid Terbaik) dan Ito Lara (Lirik Nasyid Terbaik).

Dua anugerah khas iaitu Anugerah Khalifah diberikan kepada kumpulan Raihan, manakala kumpulan Inteam turut membawa pulang Anugerah Kembara.

ANAM 2020 merupakan anjuran Majlis Usahawan Nasyid (Munsyid) Malaysia dengan sokongan serta kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia  serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Penganjuran majlis anugerah itu menerima 585 penyertaan bagi sembilan kategori yang dipertandingkan dan dua kategori anugerah khas yang dikhususkan kepada individu atau kumpulan yang memperoleh pencapaian tertinggi yang dinilai oleh juri.

Acara itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Sementara itu, Saifuddin berkata acara malam ini merupakan julung kali dua kementerian secara rasmi memberi dukungan kepada anugerah nasyid.

“Alhamdulillah, nampaknya cukup hebat persembahannya begitu baik sekali dan ada kualiti dalam anugerah-anugerah yang dimenangi oleh para pemenang dan kita lihat ada kumpulan-kumpulan baharu, juga sudah ada juga penyanyi baharu.

Kita berharap dengan kejayaan malam ini kita boleh meneruskannya sebagai acara tahunan dan cita-cita saya dan Dr Zul (Zulkifli Mohamad) pada tahun depan kita akan adakan Anugerah Nasyid Malaysia peringkat antarabangsa,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata penganjuran seumpama itu boleh mencungkil bakat luar biasa serta menunjukkan kesungguhan indivIdu atau kumpulan berdakwah.

“Begitu juga anugerah-anugerah yang dikemukakan memberi satu makna dan signal bahawa Malaysia layak untuk menjadi hab nasyid antarabangsa satu hari nanti,” katanya.

ANAM 2020 diadakan dalam pematuhan normal baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 dan buat julung kalinya acara hiburan turut menampilkan jurubahasa isyarat dalam penganjurannya.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan daripada artis terkemuka negara seperti Datuk Jamal Abdillah, Ali Terra Rossa, Akhil Hayy dan Altimet, selain artis nasyid berkumpulan popular Brothers, Rabbani, Raihan dan Hijjaz. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button