Hiburan

Lagu anak Malaysia beri sokongan kepada kontijen Malaysia di Sukan Olimpik 2024

YB Altimet, dan artis-artis terkenal, Zizi Kirana, SAIXSE, dan Fahimi telah bergabung untuk melancarkan sebuah lagu berjudul “Anak Malaysia”. Lagu dinamik baharu ini dijangka akan memberikan semangat dan sokongan kepada kontinjen Malaysia yang akan bertanding di Sukan Olimpik 2024 di Paris, di samping membakar dan menyemarakkan semangat “Jiwa Merdeka” sempena Hari Kebangsaan kita.

 

“Anak Malaysia” adalah hasil kolaborasi hebat yang digubah dan ditulis oleh Iqie Hugh, Mage, Fahimi, SAIXSE, dan Mambang. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menggubah lirik nukilan YB Altimet adalah satu inovasi yang menarik dengan menggabungkan teknologi dan seni dalam produksi muzik moden. Hasil campuran genre dan gaya yang menarik menjadikan lagu ini benar-benar mencerminkan semangat perpaduan dan tekad, serta  mempamerkan jiwa semangat kebanggaan rakyat Malaysia.

 

“Lagu ini lebih daripada sekadar nyanyian; ia adalah panggilan semangat untuk atlet kita dan seluruh rakyat Malaysia. Tidak kira di mana kita berada dan apa jua yang kita lakukan, kita akan sentiasa berbangga menjadi ‘Anak Malaysia’,” kata YB Altimet. “Kami mahu mencipta sesuatu yang bukan sahaja akan memberikan inspirasi kepada atlet kita tetapi juga bergema dan membangkitkan semangat ‘Jiwa Merdeka’ menjelang sambutan Hari Kebangsaan” tambah Mage, penerbit lagu tersebut.

 

SVLTAN Management dan Faithful Music, yang terkenal dengan pendekatan inovatif dalam pengurusan artis dan produksi muzik telah bekerjasama dengan Universal Music Malaysia untuk pengedaran lagu ini, menekankan komitmen mereka dalam menyokong bakat tempatan dan menyumbang kepada semangat kebangsaan.

 

“Kami berharap ‘Anak Malaysia’ akan menjadi sumber kekuatan untuk atlet kita ketika mereka bertanding di Paris, dan inspirasi untuk kita semua yang menyokong dari tanah air,” kata Zizi Kirana.

 

Lagu bertenaga simbol kebanggaan dan perpaduan negara ini bakal dilancarkan di semua platform penstriman digital utama mulai 26 Julai, manakala video muzik (diarahkan oleh Fareez Nasir), akan dilancarkan pada hari yang sama pada jam 12 tengah hari di saluran YouTube Faithful Music (youtube.com/@faithfulmusicmy). Sertailah kami meraikan atlet dan negara kita dengan “Anak Malaysia”, sambil menyokong pasukan kita dan menghayati semangat Malaysia.

Artikle Berkaitan :>

Kurung songket akan diperkenalkan di mata dunia, untuk acara Sukan Olimpik 2024

MOM perkenal pakaian rasmi baharu ke Olimpik, nampak lebih garang

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button