Politik

Lagi sokongan ‘poster boy’ jadi PM kalau menang PRU15

JIKA Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, poster boy, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri.

Sokongan diberi oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) dinyatakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang turut menyambut baik cadangan tersebut.

Muqharabbin berkata, ini adalah tanda pemimpin UMNO fokus kepada agenda dalam membela rakyat dan meneruskan pengukuhan ekonomi negara.

Sekali gus, menunjukkan bukti bahawa pemimpin atasan parti sebenarnya sentiasa membuat sesuatu keputusan dalam semangat kesetiakawanan, kata Muqharabbin.

Katanya, walau ada yang sentiasa mengambil peluang memporak-perandakan dan mengadu domba agar UMNO dilihat bercakaran, hakikat sebenar, telahpun dibuktikan bahawa kepentingan rakyat lebih diutamakan berbanding perebutan kuasa dalaman parti UMNO.

“Saya amat berbangga dengan sikap berjiwa besar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meletakkan kepentingan parti demi kemenangan BN lebih penting berbanding jawatan.

“Sebagai pemimpin muda dalam parti, saya anggap teladan yang mereka tunjukkan, harus saya contohi termasuklah semua pemimpin yang masih memegang jawatan di bahagian masing-masing,” ujar beliau.

Katanya lagi, kita bakal menghadapi PRU15 yang akan menentukan nasib parti dan rakyat.

“Jadi, apa jua perselisihan dan permasalahan parti harus kita ketepikan demi kejayaan UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Apabila ditanya bilakah masa yang paling sesuai untuk diadakan PRU, Muqharabbin  berkata, “Saya rasa Perdana Menteri lebih bijak dan tahu bila masa dan waktu pembangkang sedang lemah dan kucar kacir. “Itulah masa yang amat tepat. Mereka hanya bergabung demi kuasa tetapi selepas menang, hanya membalas dendam tanpa mempedulikan nasib rakyat.

“Jangan lagi berikan mereka masa dan ruang mengatur strategi dengan menyebar fitnah dan menanam kebencian ‘palsu’ kepada rakyat untuk merosakkan UMNO.”

Muqharabbin  berkata, ambillah iktibar PRU14 yang lalu.

“Apapun, semangat ukhwah MKT UMNO kini jelas menunjukkan kepimpinan UMNO  dan jentera-jentera negeri dan bahagian bersiap sedia bila-bila masa untuk menghadapi PRU15.

“Dengan perubahan drastik yang berani dilakukan oleh kepimpinan atasan dengan memberi ruang kepada calon-calon yang berwibawa, disenangi dan diterima oleh semua lapisan masyarakat, ia petanda jelas, UMNO kini telah banyak berubah dan bukan lagi sebuah parti yang retorik,” kata Muqharabbin yang juga Ketua Pemuda Lembah Pantai. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button