Labur RM100,000 miliki basikal klasik
Nostalgia menunggang basikal tua di waktu remaja mendorong seorang bekas tentera mula mengumpul pelbagai koleksi basikal klasik yang tidak pernah termimpi untuk memilikinya.
Bagi Zaini Omar, 49, dari Taman Rambai Permai sanggup membelanjakan sebanyak RM100,000 semata-mata ingin memiliki koleksi basikal antik antara tahun 1930 hingga 1960.
Katanya, minatnya bermula pada 1995 dengan hanya membeli dua buah basikal antik namun setelah bertukar tempat kerja dari Kem Batu 10 Pahang ke Kem Terendak sehingga bersara pada 2014 bermula minat mendalam terhadap barang antik itu.
“Mula-mula saya hanya beli dua basikal antik tetapi minat saya untuk memiliki lebih banyak basikal klasik bila berhijrah ke Melaka.
“Sejak itu saya mula membeli pelbagai model basikal lama dengan harga serendah RM1,200 hingga RM7,000. Sebahagian daripada duit gaji dan bonus yang dikumpul itulah saya gunakan.
“Daripada dua buah kini saya memiliki lebih daripada 50 model basikal klasik dan sering menyertai pelbagai kayuhan klasik yang diadakan di seluruh negara setiap bulan,” ujarnya di sini hari ini.
Zaini berkata, sehingga kini dia memiliki pelbagai model basikal klasik antaranya dari jenama popular dan terulung yang dihasilkan di England seperti Raleigh, Rudge Whitworth, Hopper, Birmingham Small Arms (BSA) dan Chopper.
Selain itu ujarnya, dia turut memiliki sebanyak 12 buah basikal posmen mengikut spesifikasi Malaysia dan United Kingdom (UK) keluaran 1938 hingga 1960.
Paling unik katanya, dia memiliki sebuah basikal klasik model Butcher pada 1941 dianggap paling berharga daripada koleksi yang dimilikinya.
“Basikal ini susah untuk diperolehi di pasaran tempatan kerana keunikannya ia digunakan oleh tentera British yang dibawa menggunakan payung terjun. Dulu harganya RM7,000 tetapi kini melambung sehingga RM15,000,” ujarnya yang turut memiliki beberapa motosikal dan kereta antik.
Di samping itu katanya, kawasan rumahnya dijadikan setor simpanan peralatan ganti basikal klasik manakala sebahagian basikal diletakkan di sekeliling rumahnya. – SM