KWSP umum Pengeluaran Khas untuk ahli yang terkesan pandemik
Lanjutan daripada pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 untuk ahli yang masih terkesan oleh pandemik.
Ini merupakan pengeluaran keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada tahun 2020 dan disusuli oleh i-Citra pada Julai 2021 bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti dengan kelembapan ekonomi.
Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran tersebut.
Tatkala negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.
KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara.
Maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran ini dan mekanisme pembayaran akan dibuat oleh KWSP dengan kadar segera.
Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
16 Mac 2022