Berita

KWSP! Itu bukan duit bapak kamu

KISAH sedih pesakit kanser terpaksa diusung ke KWSP semata-mata untuk mendapatkan cap jari bagi mengeluarkan wang caruman, hanya sedikit daripada kerenah agensi berkenaan.

Ramai lagi yang merungut tentang kesukaran bila berurusan dengan agensi berkenaan sedang wang yang disimpan adalah milik pencarum.

Agensi berkenaan harus mempunyai kakitangan khidmat pelanggan yang lebih baik. Ambil saja contoh guru bagaimana mereka berkhidmat untuk pelanggan mereka iaitu pelajar.

Jika pelajar sakit terlantar ke hospital, guru akan ke hospital menguruskan pelajar dan peperiksaan. Mengapa? Sebab ia berkait dengan masa hadapan pelajar berkenaan.

Begitu jugalah KWSP ia berkaitan urusan kesejahteraan masa hadapan pencarum.

Pusat zakat memang tidak boleh diharap. Berapa kerat sahaja orang yang benar-benar dalam keadaan yang sukar dibantu.

Sebagai bekas kakitangan Utusan kami sendiri melaluinya. Pusat zakat hanya memberi bantuan kepada mereka yang gajinya di bawah RM4,000 sedangkan ketika itu kami semua sudah tidak bergaji kerana gagal dilunaskan oleh majikan.

Ia hanya retorik untuk mendapatkan liputan media. Ketika mahukan kutipan zakat mereka giat membuka kaunter bergerak dan sebagainya, tetapi apabila menghulur bantuan tidak pula seghairah itu.

Dalam hal ini memang pada asalnya caruman KWSP dibuat untuk digunakan apabila usia tua iaitu 55 tahun ke atas, tetapi KWSP harus ada sedikit kelonggaran dalam kes-kes tertentu bagi membolehkan pencarum meneruskan kelangsungan hidup.

Sebagai contoh bukan sahaja melibatkan mereka yang menderita sakit kritikal, tetapi turut melibatkan mereka yang kehilangan pekerjaan.
Sepatutnya KWSP membenarkan pencarum mengeluarkan sejumlah wang bagi membolehkan mereka memulakan hidup baharu selepas kehilangan pekerjaan secara mengejut.

Kakitangan Utusan contoh terbaik telah diarah mengosongkan pejabat dalam tempoh enam jam sahaja kerana syarikat gulung tikar.
Lebih membebankan lagi syarikat gagal membayar gaji tertunggak sebanyak dua bulan, dan tiada sebarang pampasan diperolehi.

Dalam keadaan begini pekerja terperangkap dalam kekangan kewangan yang kronik dan amat sukar untuk memulakan usaha yang baharu.

Ada sampai yang hilang kewarasan dan bayangkan jika ada sampai ke tahap mengambil nyawa sendiri di mana yang dicarum ke dalam KWSP selama puluhan tahun memberi manfaat.

Pencarum boleh pergi ke mahkamah, tetapi ia sekali lagi memerlukan wang.

Untuk menjadi pemandu e-hailing juga memerlukan kos, apatah lagi jika kenderaan yang dimiliki sudah tidak layak digunakan untuk tujuan itu.

Dalam hal inilah KWSP perlu mengkaji semula peranannya dan bagaimana ia berfungsi bagi membantu pencarum dan bukan menjadi satu lagi agensi yang menyusahkan ahlinya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button