Ekonomipilihan

KWSP catat pendapatan RM19.2 bilion bagi suku pertama 2024

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM19.2 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (S1 2024), naik 33.1% daripada RM14.42 bilion yang dicatatkan pada
suku yang sama pada 2023. Pendapatan boleh agih ini tidak termasuk keuntungan mark-to- market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, “Prestasi pasaran global pada suku pertama 2024 adalah berikutan pertumbuhan global yang berdaya tahan, terutamanya bagi ekonomi maju.

“Indeks FBM KLCI meningkat 10% setakat tahun ini, mencerminkan peningkatan keyakinan dalam pertumbuhan dan kesan pelbagai dasar baharu terhadap ekonomi dan industri.

“Di peringkat antarabangsa, ekonomi AS terus berkembang, seterusnya menurunkan jangkaan pemotongan kadar Fed pada tahun ini, selain indeks saham utama yang telah mempamerkan rali kukuh pada suku pertama,
didorong oleh lonjakan saham berkaitan kewangan, penjagaan kesihatan dan teknologi.

“Walaupun prestasi suku pertama kukuh, pasaran kewangan terus berdepan beberapa
risiko yang meluas, iaitu kadar faedah ‘tinggi untuk tempoh lebih lama’, risiko geopolitik dan
konflik, dan perubahan dasar berikutan pilihan raya yang dilaksanakan oleh beberapa
ekonomi besar tahun ini,” tambah  Ahmad Zulqarnain.

Pada suku yang dikaji, pendapatan daripada Ekuiti meningkat kepada RM13.15 bilion, berbanding RM8.69 bilion yang direkodkan pada S1 2023. Kelas aset ini kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 68% daripada jumlah pendapatan boleh agih.

Peningkatan pendapatan ini adalah disumbangkan oleh strategi proaktif pengurus dana untuk mengambil peluang rali pasaran dalam merealisasikan keuntungan modal sebelum berlakunya persekitaran tidak menentu yang dijangkakan pada suku akan datang.

Instrumen Pendapatan Tetap terus menjadi tunjang kepada KWSP, memberikan aliran pendapatan yang stabil dan mengurangkan impak daripada ketidaktentuan pasaran jangka pendek. Kelas aset ini, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), menyumbang 27% atau RM5.14 bilion kepada pendapatan boleh agihbagi S1 2024.

Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM0.22 bilion pada S1 2024, sementara instrumen Pasaran Wang menjana RM0.69 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.

Keseluruhan aset pelaburan KWSP setakat Mac 2024 meningkat kepada RM1.19 trilion, di mana pelaburan luar negara menyumbang 38% daripada keseluruhan jumlah aset.

Pelaburan luar negara KWSP, yang sebahagian besarnya adalah dalam ekuiti, terus melebihi jangkauan dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP dengan menjana pendapatan sebanyak RM9.88 bilion, mewakili 51% daripada jumlah pendapatan boleh agih yang direkodkan.

Pelaburan domestik KWSP pula menyumbang 62% daripada jumlah aset yang sebahagian besarnya dilaburkan dalam instrumen Pendapatan Tetap, seterusnya memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui faedah dan keuntungan. KWSP kekal komited dalam menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus memperuntukkan lebih 80% daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

Sebanyak RM16.56 bilion daripada RM19.20 bilion pendapatan boleh agih dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM2.64 bilion untuk Simpanan Shariah.

Ahmad Zulqarnain berkata, KWSP mengekalkan jangkaan optimistik terhadap ekonomi domestik yang telah memulakan tahun 2024 atas landasan kukuh dan telah merekodkan pertumbuhan pesat pada 4.2% bagi S1 2024. Pasaran buruh negara kekal berdaya tahan, dengan pekerjaan dan kadar penyertaan tenaga buruh terus meningkat.

Beliau menambah bahawa Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh pada 2024, disokong oleh pengukuhan permintaan domestik dan pemulihan eksport.

Bank Negara Malaysia mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar antara 4%
dan 5% tahun ini, dan inflasi akan kekal sederhana berpurata antara 2% dan 3.5%.

Pertumbuhan global tahun ini adalah dijangka menjadi lebih positif. Walau bagaimanapun, risiko kekal tinggi berikutan ketidaktentuan daripada kesan pengetatan dasar monetari terhadap pertumbuhan dan kestabilan pasaran kewangan, krisis pasaran hartanah China, serta ketegangan geopolitik yang boleh mendorong harga komoditi lebih tinggi dan mengancam pertumbuhan ekonomi global.

KWSP akan terus mengukuhkan strategi pengurusan risikonya khususnya dalam mengenal pasti dan mengurangkan risiko yang mempunyai kaitan dengan perdagangan antarabangsa dan pergerakan geopolitik dunia. KWSP juga akan memantau rapat keputusan pilihan raya Presiden AS yang dijangka akan mempengaruhi sentimen dan pergerakan pasaran global.

Ekonomi Malaysia yang kukuh telah memacu pasaran buruh yang berdaya tahan, dengan kadar pengangguran jatuh kepada 3.3% pada S1 2024, daripada 3.5% bagi tempoh yang sama tahun lepas. Sehingga Mac 2024, KWSP merekodkan 107,105 pendaftaran ahli baharu, menjadikan jumlah keahlian kepada 16.1 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8.6 juta adalah ahli aktif 1 , yang kini mewakili 50% daripada 17.1 juta tenaga buruh Malaysia

Pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 20,080 dalam tempoh tersebut, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada  608,433. Jumlah caruman yang diterima meningkat daripada RM25.83 bilion pada S1 2023 kepada RM29.13 bilion pada S1 2024.

Pada suku yang dikaji, KWSP juga mengekalkan nisbah ahli aktif dengan tidak aktif pada 53:47 bagi S1 2024, selaras dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, dengan 8.6 juta ahli aktif daripada jumlah keseluruhan keahlian sebanyak 16.1 juta. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button