Ekonomi

KWSP catat keuntungan dari pelaburan hampir RM48 bilion

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9B 2023).

Ia meningkat 33% daripada RM36.04 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2022.

Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku  tersebut.

Daripada RM47.86 bilion jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM4.62 bilion adalah dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran matawang asing.

Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga (S3 2023) berakhir 30 September 2023, adalah RM14.67 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos. Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak RM2.38 bilion daripada RM12.29 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Pada suku ketiga, kita menyaksikan peralihan yang ketara dalam prestasi ekuiti global yang telah mencatatkan pulangan negatif berbanding keuntungan kukuh yang dicatatkan pada separuh pertama tahun itu.

“Perang Gaza-Israel dan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan pastinya akan menyumbang kepada suasana ketidaktentuan dan turun naik pasaran.

“Kami menjangkakan risiko geopolitik ini akan terus menerukkan lagi keadaan ekonomi yang sememangnya bergelora. Perubahan dalam sentimen pasaran ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk kebimbangan tentang kestabilan ekonomi China, kenaikan harga tenaga dan peningkatan hasil bon kerajaan, kesemuanya berlatarbelakangkan kemungkinan bahawa tempoh kadar faedah yang tinggi akan berlanjutan.

“Bulan Ogos 2023 pula mencatatkan peristiwa penting apabila Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+. Tindakan ini didorong oleh beban hutang yang semakin meningkat, sekaligus menggariskan cabaran yang dihadapi oleh landskap ekonomi global,” kata Amir Hamzah.

Beliau menambah, pasaran pendapatan tetap global juga telah mencatatkan jumlah pulangan negatif pada suku ketiga berikutan peningkatan mendadak dalam hasil kerajaan.

“Peningkatan dalam hasil bon kerajaan dipengaruhi oleh data ekonomi yang berdaya tahan serta kenyataan bahawa kadar dasar kekal “lebih tinggi untuk lebih lama”, disebabkan oleh  penyederhanaan inflasi yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan.

“Perkembangan ini memberikan dimensi baharu kepada landskap ekonomi global yang memerlukan KWSP
melaksanakan pendekatan berwaspada dan adaptif dalam usaha kita mengemudi pasaran kewangan,” katanya.

Pelaburan Ekuiti kekal sebagai penyumbang utama, merangkumi 63% daripada jumlah pendapatan pelaburan pada S3 2023, dengan RM9.17 bilion dijana selepas turun nilai kos.

Peningkatan pendapatan sebanyak RM5.89 bilion yang dicatatkan pada S3 2022 ini adalah disumbang oleh pendekatan proaktif pengurus dana untuk merealisasikan keuntungan modal pada awal suku tersebut, yang menyaksikan beberapa indeks ekuiti merekodkan prestasi terbaik mereka sepanjang tahun, terutamanya untuk pasaran maju.

Penurunan nilai kos bagi S3 2023 adalah rendah pada RM0.10 juta, berbanding RM36 juta yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2022, lanjutan daripada pengurusan portfolio yang aktif oleh pengurus dana. Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemah untuk memastikan portfolionya kekal sihat.

Instrumen Pendapatan Tetap, yang berfungsi sebagai pengekalan modal, terus menjadi tunjang kepada KWSP dan memberikan aliran pendapatan yang tetap, selain mengurangkan kesan daripada turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan KWSP secara keseluruhannya.

Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta Pinjaman dan Bon,
menyumbang 32% atau RM4.76 bilion, kepada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi S3 2023. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button