NasionalNegeri

‘Kurma Daging Perlis’ menu istimewa Hari Kebangsaan di Los Angeles

MASAKAN ‘Kurma Daging Perlis’ mencipta sejarahnya tersendiri apabila bakal diangkat sebagai sajian istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan sehingga ke Hari Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat, tidak lama lagi.

Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro yang terletak tidak jauh dari Disneyland, Anaheim, itu akan menyajikan masakan ‘Kurma Daging Perlis’ mulai 31 Ogos hingga 16 September 2023 ini.

Demikian menurut kenyataan media oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

‘Kurma Daging Perlis’ menu istimewa sepanjang Bulan Kebangsaan sehingga Hari Malaysia di Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Promosi Makanan Perlis itu telah dilancarkan secara simbolik oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil baru-baru ini.

Berangkat sama anakanda Baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan; Konsul, Azman Roslee Anuar; Naib Presiden Tourism Malaysia Los Angeles, Akbal Setia; serta Pengerusi Eksekutif MyUS Group of Companies dan Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd., Datuk Nellsen Young.

Keberangkatan Baginda berdua disambut oleh Kean P Tan dan isterinya, Bee Tan selaku pengasas dan pemilik Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro (www.belacangrillmalaysianbistro.com) berkenaan.

Menurut Kean, menu ‘Kurma Daging Perlis’ akan menjadi satu tarikan bagi pengunjung tempatan di Los Angeles untuk merasa masakan Perlis sempena promosi kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Sekaligus katanya, dengan menu ini akan membangkitkan semangat rakyat Malaysia yang bermastautin di sana menghayati Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Juadah enak ini akan dapat mengimbau tanahair tersayang dengan penuh patriotisma sekalipun berada di luar negara,” katanya.

Promosi Makanan Perlis kali ini merupakan inisiatif secara kolaborasi oleh restoran yang popular di kalangan warga Malaysia di sana tersebut bersama YTSP Perlis, Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, Tourism Malaysia Los Angeles, MyUS Group of Companies dan Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Pengerusi YTSP Perlis menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia yang berada di luar negara akan sentiasa bersama-sama menghayati semangat cinta akan negara bagi menyambut Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia bertemakan ‘Malaysia Madani – Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ tidak lama lagi.

Baginda bertitah, tidak kira di mana sahaja mereka berada dan pada masa yang sama sentiasa mengekalkan prinsip jiwa patriotik.

Sebagai rekod, Chef Kean P Tan, 64 dan isterinya, Bee Tan adalah rakyat Malaysia.

Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro dengan slogan ‘The Art Of Blending Exotic Spices’ di 17460 17th Street, Tustin, California 92780, telah diasas dan dibuka oleh mereka sejak tahun 2004 lagi.

Tiga anak mereka Kimberly Sze Tan, Leroy Tan dan Natalie Tan turut bersama mengusahakan restoran Malaysia yang mempunyai pengesahan makanan halal.

Kean memaklumkan bahawa beliau terpanggil untuk menjayakan kempen ini kerana teruja dengan limpah perkenan Baginda berdua berangkat untuk menikmati santapan di restoran beliau.

Pada 3 Ogos lalu, Pejabat Tourism Malaysia Los Angeles juga telah turut menganjurkan Promosi Masakan Perlis pada sesi rangkaian industri pelancongan yang disediakan oleh Perunding Masakan Bebas, Khusairi Awang Ahmad dan isterinya, Fairolliza Farok.

Pemangku Raja dan Raja Puan Muda Perlis telah berkenan merasmikannya.

Berhubung Tahun Melawat Perlis tahun hadapan, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, kerajaan negeri juga sedang berusaha mendapatkan penarafan Banjaran Nakawan di Perlis yang berusia lebih 450 juta tahun sebagai Geopark Kebangsaan. – SM

BACA Pemangku Raja Perlis berkenan lawat cafe Paris Baguette, Pavilion KL

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button