Nasional

Kuota harian laluan penumpang VTL lengkap vaksin ditambah

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan bahawa kuota harian bagi penumpang di bawah inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL Darat) Malaysia-Singapura akan ditambah daripada 2,160 orang kepada 3,420 orang mulai Isnin, 14 Mac 2022.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ini akan membolehkan lebih ramai lagi penumpang dapat merentasi sempadan Malaysia-Singapura tanpa kuarantin dan lain-lain keperluan yang dikenakan sebelum ini.

“Keputusan ini diambil susulan pengumuman terdahulu yang meningkatkan kapasiti penumpang daripada 50% kepada 100% pada 16 Februari 2022.

“Sehubungan itu, penjualan tiket bas untuk tambahan kuota harian ini akan bermula pada hari Jumaat, 11 Mac 2022 bagi perjalanan mulai Isnin, 14 Mac 2022 dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, pengendali bas yang ditetapkan Malaysia di Terminal Larkin di Johor Bahru akan terus mengendalikan VTL Darat ke Singapura ini.

Dalam masa sama, para penumpang masih tertakluk kepada keperluan perjalanan VTL Darat sedia ada termasuk menjalani ujian pra-berlepas (PDT) dan ujian semasa ketibaan (OAT), katanya.

Tambah beliau, walaupun peralihan Malaysia ke fasa endemik akan bermula pada 1 April dengan beberapa kelonggaran protokol perjalanan, perjanjian VTL Darat dengan Singapura kekal berkuat kuasa sebagai perjanjian dua hala antara kedua-dua Kerajaan untuk terus memastikan keselamatan yang lebih baik bagi perjalanan darat ke dan dari Tambak Johor.

Perjanjian dua hala ini akan diteliti dari semasa ke semasa oleh kedua-dua negara dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kelak, katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button