NasionalParlimen

Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) memang pandai cakap

Pelaksanaan gaji minimum bukan akhir tahun-Saravanan

SEMASA menjawat jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran pada era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan, beliau tidak pula melaksanakan gaji minimum RM1,500.

Hari ini, berdiri sebagai pembangkang di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen (PH-Ipoh Barat) itu berdegang-degang mempersoalkan Datuk Seri M Saravanan, bilakah nak umumkan pelaksanaan gaji minimum yang dia sendiri, tidak dapat laksanakan ketika jadi menteri.

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan

Saravanan berkata, Kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dalam masa terdekat yang mana pengumuman itu adalah lebih awal daripada jangkaan akhir tahun ini.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan sedang memperhalusi beberapa faktor agar majikan tidak mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan gaji minimum untuk mengurangkan tenaga kerja.

“Kerajaan mencadangkan pelaksanaan gaji minimum baharu dalam masa terdekat, bukan pada akhir tahun ini memandangkan ekonomi negara ketika ini bertambah baik dan kebanyakan perniagaan dilihat berkembang dan menunjukkan trend pemulihan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan perkara itu ketika menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang meminta kerajaan menyatakan alasan untuk melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500 pada akhir tahun.

Dalam soalan tambahan, Kulasegaran yang pernah menjawat jawatan Saravanan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan, hari ini mempersoalkan mengapa kerajaan mengambil masa yang lama untuk menetapkan paras gaji minum selepas kali terakhir disemak pada tahun 2020.

“Pada Januari 2020 kita (kerajaan PH) semak gaji minimum. Jadi saya bertanya kenapa sehingga sekarang kerajaan belum berbuat demikian?

“Adakah kerajaan tidak sedar kos sara hidup sudah naik terlampau tinggi sehingga ramai pekerja hadapi masalah rumit.

“Adakah kerajaan tiada ‘political will’ untuk atasi masalah yang senang saja. Janganlah kita ingat masa pilihan raya saja kita memberi keutamaan kepada B40.

“Sebenarnya ramai di antara rakyat Malaysia tidak ingin bekerja sekarang kerana gaji minimum terlalu kurang,” kata Kulasegaran yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu.

Datuk Seri Abdul Azeez Rahim

Bagaimanapun, soalan itu dicelah (BN-Baling) yang menyindir Kulasegaran, mengapa tidak melaksanakan gaji minimum ketika Kulasegaran menjadi menteri di kementerian berkenaan.

“Saya nak tanya Ipoh Barat (Kulasegaan). Ketika dia jadi menteri 22 bulan, kalau betul hebat, dah buat masa itu dah… mesti ada kekangan dia bukan dia tak nak buat.

“Masa jadi Menteri Sumber Manusia, patutnya Ipoh Barat selesaikan. Kalau ada ‘political will’ seperti yang disebutkan. Ini semua cakap tak serupa bikin, buat manifesto berpuluh-puluh,” kata Azeez dengan lantang.

Menteri kemudian bangun mengulangi pendirian kerajaan Keluarga Malaysia bahawa sudah bersedia untuk mengumumkan gaji minimum RM1,500 dalam masa terdekat.

“Kerajaan sudah bersedia untuk mengumumkan gaji minimum dalam masa terdekat tetapi kita sedang perhalusi dan meneliti beberapa faktor di mana kita tidak mahu majikan lain ambil kesempatan gaji minimum dan mengurangkan pekerja mereka sekaligus membantutkan usaha kerajaan mengurangkan kadar pengangguran negara,” katanya.

Kadar pengangguran negara merekodkan penurunan daripada 5.3% ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (pkp) pertama pada 2020 kepada 4.2% pada hari ini.

“…dan dalam usaha menurunkan 4% ke bawah, kami tidak mahu majikan ambil kesempatan gaji minimum dan kurangkan pekerja maka kita sedang perhalusi, dan saya bagi jaminan di dewan mulia ini kita akan umumkan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Feb 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button