Ekonomi

Futurise, LADA umum kerjasama kawal selia landskap cyclotourism di Langkawi

Futurise Sdn Bhd (Futurise) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mengumumkan kerjasama yang menandakan permulaan satu peristiwa penting dalam evolusi rangka kerja kawal selia untuk persediaan usaha Cyclotourism di Langkawi.  Usaha ini dimulakan dengan satu perbincangan panel yang bertajuk ‘ClycoTourism Di Langkawi: Menyokong Dasar Yang Jelas Bagi Cyclotourism’.

Perbincangan panel ini bertujuan untuk mengenal pasti isu-isu halangan pengawalseliaan seperti isu keselamatan, cukai dan logistik, pelan penerimaan digital dan cabaran teknologi untuk membantu Langkawi di dalam usaha perjalanan transformasi digitalnya.

Moderator untuk sesi panel ini ialah Mohamad Zuhri Abd Rashid, Jabatan Bahagian Pelancongan LADA. Turut serta sebagai ahli panel ialah Ts. Gs. Azzuhana binti Roslan, Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS),  Mohd Sharul Bin Mat Ripin, Jabatan Laut Malaysia, Lina Azlina binti Ibrahim, Penguasa Kastam – Ketua Cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Raziman Ishak, Kelab Basikal Lasak 99 Langkawi.

Pandemik telah menyebabkan perubahan dalam cara kita mengembara atau melancong dan mempengaruhi cara mengisi aktiviti masa lapang. Sejak pandemik melanda, terdapat kebangkitan semula penggunaan basikal untuk tujuan mobiliti dan dilihat ianya telah menjadi pilihan popular. Hari ini, terdapat kecenderungan dalam aktiviti berbasikal yang menyebabkan peningkatan yang ketara dalam industri pelancongan basikal.

Pulau Langkawi ialah tempat yang sudah terkenal untuk acara pelancongan berbasikal bertaraf antarabangsa seperti Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Ironman Malaysia. Pada Mac 2021, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mempromosikan pelancongan sukan, LADA memperkenalkan “Langkawi Cyclotourism Trail’ sebagai tarikan pelancong yang menawarkan peluang kepada pengunjung untuk menerokai keindahan alam semula jadi pulau itu dan banyak sudut tersembunyi melalui kayuhan dengan pelancaran 7 laluan.

Nasaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA dipetik berkata, “LADA sentiasa mengalu-alukan usaha dan cadangan dalam menyokong Cyclotourism di pulau ini. Langkawi telah terkenal sebagai hab utama dalam penganjuran acara berbasikal bertaraf dunia seperti Le Tour de Langkawi dan IRONMAN Malaysia.

Selain memberi manfaat kepada masyarakat tempatan dengan peluang meningkatkan ekonomi, acara ini juga menggalakkan gaya hidup sihat dan membolehkan penggemar aktiviti berbasikal menikmati keindahan dan kerimbunan alam semula jadi di pulau ini.

Maklum balas yang diterima daripada Program Regtalk Cyclotourism @ Langkawi akan diteliti dan dipertimbangkan dengan menyeluruh bagi menjayakan Cyclotourism disini satu kenyataan. LADA akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan pulau ini dikenal pasti sebagai destinasi Cyclotourism terkemuka dalam industri pelancongan Malaysia.”

Rangka kerja kawal selia ini bertujuan untuk menyelidik penyelesaian sekitar berkaitan keselamatan dan logistik yang kini menghalang potensi Cyclotourism Langkawi. Rangka kerja itu akan membolehkan akses dan pertukaran pendapat dan maklumat yang diperlukan.

Antara yang dibincangkan adalah pentadbiran pelancongan dan bukan pelancongan di peringkat yang berbeza, sektor swasta, ahli akademik, pemain industri, usahawan dan komuniti tempatan untuk mencapai pembuatan keputusan yang tepat yang akan menyumbang kepada penciptaan landskap Cyclotourism yang kondusif di Langkawi.

Rangka kerja ini akan mempercepatkan campur tangan pengawalseliaan yang progresif dan dapat membolehkan aplikasi teknologi yang diperlukan sebagai penyelesaian kepada cabaran sedia ada di dalam mewujudkan struktur kawal selia yang seragam dan konsisten.

Rosihan Zain, Ketua Pegawai Eksekutif Futurise di dalam ucapan perasmian beliau berkata: “Ciri-ciri kebudayaan juga pengalaman gastronomi di Langkawi yang tiada tandingan beserta dengan ciri-ciri semula jadi, menjadikan Langkawi sebagai destinasi utama untuk Cyclotourism.

Mengambil contoh daripada negara-negara Eropah dan Amerika Latin yang menjadi destinasi terkenal menerusi konsep Cyclotourism, penyelesaian inovatif dan pelaksanaan teknologi baharu banyak digunapakai. Langkawi juga berpotensi besar untuk menjadi destinasi utama Cyclotourism negara.

Futurise akan bekerjasama dengan LADA dalam memastikan pembentukan Langkawi menjadi destinasi Cyclotourism yang berkembang maju melalui rangka kerja kawal selia yang efektif.”

Perbincangan panel yang dijalankan ini adalah sebahagian daripada siri RegTalk yang dianjurkan oleh Futurise sebagai sebuah inisiatif pemudah cara perbincangan terbuka tentang kawal selia di kalangan pakar industri untuk memudahkan perkongsian idea dan menyelesaikan cabaran industri sebenar. – SM

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button