KUIPs MoU dengan UMRI lebar jaringan kerjasama antarabangsa
KANGAR 26 Nov. – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) komited melebarkan jaringan kerjasama antarabangsa bersama Universitas Muhammadiyah Riau (UMRI) Indonesia dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Kompleks Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang baharu di Kangar, semalam.
UMRI yang dalam rangka lawatan mengadakan Kunjungan Silatulrahim ke KUIPs telah mencapai kata sepakat untuk memeterai MoU tersebut sebagai salah satu langkah dalam merealisasikan hasrat untuk melaksanakan projek-projek penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu melalui persidangan dan seminar antarabangsa termasuklah program pertukaran pelajar yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak.
Dalam majlis tersebut, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor KUIPs telah berkenan untuk berangkat menyaksikan upacara menandatangani MoU tersebut.
KUIPs diwakili Rektornya, Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle manakala UMRI oleh Rektornya Dr. H. Saidul Amin.
Antara bidang kerjasama lain yang telah dipersetujui oleh KUIPs dan UMRI melalui MoU ini adalah perkongsian kepakaran melalui program pembangunan dan pertukaran staf akademik dan bukan akademik.
Selain itu akan menjadi rakan kerjasama bagi program penyelidikan dan perundingan, menerbitkan bahan-bahan penyelidikan, buku dan jurnal, menjalankan program khidmat masyarakat serta lain-lain kerjasama yang akan dibincangkan kelak.
Kerjasama ini juga dijangka menyokong pembangunan kepakaran di kedua belah pihak bagi membangun dan memperkasa usaha-usaha pendidikan dan penyelidikan secara khususnya. – SM