Nasional

Kuasa Agong penenang kepada kekalutan politik negara

APABILA Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara tiba-tiba tanpa menamakan penggantinya, satu negara panik.

Kepanikan itu bertambah apabila Dr. Mahathir turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) dan seterusnya Bersatiu isytihar keluar daripada Pakatan Harapan.

Semua tindakan itu dibuat berlandaskan kepentingan politik sempit, kepentingan parti dan mungkin juga atas kepentingan peribadi.

Kepentingan rakyat jika ada sekalipun mungkin hanya sebesar hama, sebab itu seorang Perdana Menteri yang dikagumi dan dihormati sanggup meninggalkan pentadbiran negara terkontang-kanting begitu tanpa ada arah tuju.

Rakyat pula tertanya-tanya akan apa sudah jadi dengan mandat yang mereka berikan kepada gabungan parti-parti yang membentuk PH ini?

Related Articles

Walaupun realitinya Barisan Nasional (BN) merupakan parti yang memenangi paling banyak kerusi parlimen pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu 79 (walaupun kini tinggal 42 akibat aktiviti lompat-melompat yang dibenarkan oleh PH) namun pakatan yang dianggotai PKR, DAP, Bersatu dan PAN memiliki kelebihan dengan Dr. Mahathir sebulat suara diangkat sebagai Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun.

Selepas dua tahun jawatan itu perlu diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Itu merupakan persetujuan yang dicapai. Tetapi apabila tempoh dua tahun hampir tiba, dan orang yang dijanjikan menuntut janji, tiba-tiba Dr. Mahathir bertindak meninggalkan pentadbiran negara begitu sahaja.

Meninggalkan negara tanpa kerajaan. Meninggalkan rakyat terpinga-pinga. Andai Dr. Mahathir ada idea yang cerdas lagi bernas sekali pun di sebalik tindakannya itu, bukannya semua rakyat faham.

Nasib baik dalam keadaan huru-hara politik ini, negara mempunyai institusi istana yang menjadi pengimbang dan tempat untuk rakyat bergantung harap dalam suasana tidak menentu seperti ini.

Ketika para pemimpin politik lebih mendahulukan kepentingan mereka daripada rakyat, Yang di-Partuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah muncul menenangkan rakyat dan membantu menyelesaikan ‘jigsaw’ politik yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir.

Ini terbukti sebaik sahaja Dr. Mahathir meletakkan jawatan, Yang di-Pertuan Agong terus membuat keputusan supaya bekas Pengerusi Bersatu itu menjadi Perdana Menteri interim hingga penggantinya dinamakan.

Bagi mengelakkan suasana tidak menentu apabila ada pihak-pihak mendakwa mereka mendapat sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan, sekali lagi Yang di-Pertuan Agong menjadi kuasa pengimbang dengan memanggil semua 221 ahli parlimen bagi mendengar sendiri dari mulut mereka.

Untuk itu pihak Istana Negara mengatur masa dua hari supaya semua ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat pada PRU14 dapat menyatakan sendiri kepada baginda siapa yang mereka sokong sebagai Perdana Menteri. Tidak ada orang tengah. Daripada situ Agong akan membuat keputusan siapa yang layak memimpin negara atau pun membubarkan sahaja Dewan Rakyat.

Bagi meredakan resah gelisah rakyat itu Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya rakyat tidak terpengaruh dengan berita-berita tidak benar yang berlegar-legar dalam laman sosial.

Titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah, rakyat tidak perlu bimbang dengan situasi politik yang berlaku kerana ketika ini keadaan adalah terkawal.

Tanpa Yang di-Pertuan Agong, bayangkan apa akan jadi kepada negara kita ketika ini apabila semua pihak bercakaran berebut kuasa. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button