Kualiti udara di tapak pelupusan sampah Pulau Burung semakin teruk
NIBONG TEBAL: Kualiti udara di Pulau Burung akibat kebakaran di tapak pelupusan sampah di sepanjang Jalan Byram di sini semakin teruk.
Berdasarkan laman web sistem pengurusan indeks pencemar udara (APIMS), kualiti udara di tapak pelupusan itu pada pukul 7 pagi hari ini menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 103, meningkat kepada 128 pada pukul 3 petang.
Stesen IPU di tapak pelupusan itu dibuka khusus untuk memantau kualiti udara di kawasan itu susulan kebakaran. Ia juga satu-satunya stesen di negara ini yang mencatatkan bacaan tidak sihat.
Tinjauan Bernama mendapati keadaan jerebu sederhana juga dilaporkan di Pulau Pinang, khususnya di George Town.
Berdasarkan APIMS, empat lagi stesen IPU di Pulau Pinang merekodkan bacaan pada paras sederhana pada 3 petang hari ini iaitu Seberang Jaya (88) dan Seberang Perai (75) di tanah besar, serta Minden (74) dan Balik Pulau (72) pada Pulau itu.
IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik; 51 hingga 100, sederhana; 101 hingga 200, tidak sihat; 201 hingga 300, sangat tidak sihat dan 300 ke atas, berbahaya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata hanya 31% daripada tapak pelupusan sampah Pulau Burung seluas 11 hektar masih terbakar dan usaha memadam kebakaran sedang dijalankan.
Usaha memadam kebakaran melibatkan bomba dan penyelamat, majlis bandaraya Seberang Perai, majlis bandaraya Pulau Pinang, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba Sukarela dan syarikat yang menguruskan tapak pelupusan sampah, Syarikat PLB Terang, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, jawatankuasa pengurusan bencana daerah Seberang Perai Selatan, dalam satu kenyataan, menyatakan kebakaran di sektor 1, 2 dan 4 telah dipadamkan, namun masih dipantau.