Kualiti PdPR: Perlis lancar talian hotline
Oleh SHOLINA OSMAN
JABATAN Pendidikan Perlis melancarkan talian hotline mulai hari ini bagi memastikan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan dengan berkualiti.
Pengarahnya, Naharudeen Othman berkata, ibu bapa serta penjaga boleh melaporkan terus menerusi talian hotline jika berlaku ketidakpuasan hati PdPR yang melibatkan anak masing-masing.
Bagaimanapun katanya, sebarang aduan itu biarlah yang berasas dan bukannya perkara remeh temeh.
“Sebagai contoh, jika ada guru yang lewat atau didapati tidak membuat PdPR tanpa memberikan alasan atau diganti pada waktu lain, memang wajar dilaporkan,” ujarnya.
Katanya lagi, jika ada laporan sebegini maka pihaknya akan segera mengambil tindakan.
Tambah beliau, pihaknya akan terus menghubungi guru dan pihak sekolah supaya sebarang masalah diselesaikan.
“Ini menunjukkan kita serius untuk menangani sebarang masalah berkaitan PdPR, ” katanya ketika ditemui wartawan SUARA MERDEKA di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) di Kangar.
Naharudeen berkata, pihaknya juga bersedia membantu guru-guru supaya PdPR yang dikendalikan mampu menarik minat pelajar.
“Sememangnya PdPR memerlukan kreativiti seseorang guru supaya setiap mata pelajaran yang diajar itu bukan saja berbentuk penerangan tetapi disampaikan dengan cara yang menyeronokkan pelajar,” jelasnya.
Beliau berkata, ada beberapa guru di Perlis yang boleh dijadikan ikon dalam mengendalikan PdPR dan ia boleh dicontohi oleh guru-guru lain.
Sementara itu, Naharudeen turut memaklumkan bahawa pihaknya juga telah melancarkan Perlis Online Teaching (POT) sempena PKP 3.0.
Guru-guru cemerlang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan slot sebagai pembelajaran tambahan untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, katanya.
Katanya lagi, para pelajar boleh mengikuti slot setiap mata pelajaran di Youtube. – SM