Krismas: Nak hormat ulama atau hormat agama orang lain?
ANTARA karakter paling kuat yang menjadi keunikan negara di peringkat antarabangsa ialah kepelbagaian kaum dan agama yang terdapat di dalam negara.
Kita sering mengatakan yang semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama hidup secara harmoni.
Tetapi hakikatnya setiap kali menjelang perayaan sesuatu kaum, setiap kali itu juga timbul perbalahan berkaitan larangan Islam untuk menyambut hari bersejarah agama lain.
Terbaharu, ahli politik, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikecam kerana bergambar dengan memakai topi ‘santa claus’.
Begitu juga dengan pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Alyahya yang dikecam kerana bergambar dengan pokok krismas dan menyambut krismas.
Seorang lagi pelakon, Fasha Sandha juga dikecam netizen kerana memuat naik gambar anaknya memakai pakaian yang digunakan oleh ‘santa claus’.
Kesemua mereka ini dihentam netizen dan disifatkan sebagai tidak sensitif terhadap larangan yang telah dipesan banyak kali sebelum ini.
Namun, Awal sempat memberi penjelasan dakwaan yang dia memuat naik gambar itu sebagai tanda hormat kepada tetamu yang telah menjemput mereka untuk meraikan krismas.
Malah, Awal memberitahu yang individu bukan muslim juga melakukan perkara yang sama ketika sambutan hari raya Aidilfitri tetapi tidak pula mereka memeluk agama Islam selepas itu.
Pendakwah bebas, PU Syed juga sempat memberi ingatan kepada semua personaliti terkenal itu untuk menurunkan gambar mereka.
“Pemakaian topi santa claus atau apa sahaja perhiasan termasuk pokok krismas dan berkaitan dengan sambutan hari krismas adalah tidak dibenarkan.
“Tidak ada keperluan untuk memakainya seolah-olah mahu menunjukkan pengiktirafan terhadap perayaan tersebut.
“Cukup sekadar hadir untuk jamuan makan dan itu juga adalah sebagai tanda menjaga hubungan baik dan bukannya mengiktiraf kepercayaan dan perayaan mereka,” katanya.
Itu penjelasan yang diberikan oleh seseorang yang cukup arif dalam hal-hal agama. Islam memberikan ruang yang cukup untuk kita menghormati agama orang lain.
Jadi, kita sekarang hendak berada di kelompok yang mana? Kelompok yang cetek ilmu agama dan sedia menerima nasihat daripada ulama dan ustaz yang handal dalam hal tauhid dan akidah?
Atau menjadi individu yang terlalu menghormati agama orang lain sehingga terlupa dengan nasihat dan larangan yang telah ditetapkan dalam Islam? -SM