Nasional

Kartel daging: Pemuda UMNO lapor polis, desak tubuh pasukan khas

Pergerakan Pemuda UMNO hari ini membuat laporan polis berhubung skandal pengimportan daging tidak halang yang didalangi oleh kartel.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, laporan yang dilakukan pada pukul 2 petang  di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu bertujuan meminta siasatan terperinci dan telus dilakukan bagi menangani isu pengimportan daging yang diragui status halal untuk umat Islam.

Katanya, nama syarikat atau individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan perlu didedahkan termasuk membabitkan penyelewengan dan rasuah.

Serentak itu, Pemuda UMNO mendesak kerajaan untuk menubuhkan satu pasukan khas membabitkan pelbagai pihak berkuasa berkaitan supaya siasatan dapat dijalankan secara telus.

Asyraf Wajdi berkata, pasukan berkenaan juga perlu dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan dapat dilakukan secara pantas dan bersepadu.

“Berdasarkan beberapa persoalan dibangkitkan di atas, Pemuda UMNO mendesak agar siasatan segera secara bersepadu harus dilakukan melalui Pasukan Khas melibatkan PDRM dan SPRM, bagi segera mendakwa dan mendedahkan individu-individu dan syarikat-syarikat yang terlibat dan disyaki terlibat dalam segala bentuk penyelewengan termasuk melibatkan rasuah.

“Pemuda UMNO juga menuntut agar siasatan secara telus dan pantas dilakukan agar keyakinan dan kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap logo Halal Malaysia dapat segera dipulihkan dan dipelihara,” kata beliau.

Asyaraf Wajdi membangkitkan lima persoalan yang perlu dibongkar:

1. Siapakah dalang yang bertanggungjawab menguruskan proses import daging sejuk beku yang diragui status Halalnya?

2. Mengapakah berlakunya monopoli kilang pemprosesan daging halal terutamanya di China, Thailand dan India?

3. Kenapakah Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) hanya menghadkan beberapa kilang sahaja di China, India dan Thailand untuk mengeksport ayam dan daging ke Malaysia?

4. Apakah DVS dan JAKIM melakukan pemeriksaan secara berkala setiap tahun untuk memastikan status Halal, kesihatan (pencegahan penyakit berjangkit daripada binatang) dan kebersihan kilang-kilang yang diberikan kelulusan status Halalnya? (Daripada maklumat yang Pemuda UMNO perolehi, kali terakhir dua kilang utama yang membekalkan daging ayam di China dibuat pemeriksaan adalah pada 20 Januari 2016 setelah mendapat pensijilan).

5. Apakah benar DVS tidak pernah mengeluarkan sebarang Permit Import (AP) ekor lembu ? Justeru apakah status halal ekor lembu yang begitu banyak berada di pasaran tempatan yang dikatakan kebanyakannya diimport dari luar negara terutamanya dari Argentina?-SM

 

 

 

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button