Krisis politik selesai, Muhyiddin angkat sumpah sebagai PM esok?
KRISIS politik yang berlangsung selama hampir seminggu dijangka selesai jika Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah esok.
Bersatu yang memiliki 36 ahli parlimen mencadangkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan dan kemudiannya disokong oleh Muafakat Nasional serta Gabungan Parti Sarawak dan Warisan.
Bagaimanapun lewat petang ini situasi menjadi tidak menentu apabila dikatakan ada sekumpulan wakil rakyat yang tidak bersetuju dengan cadangan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Jika kemelut berkenaan dapat diselesaikan dan mendapat perkenan Istana, Muhyiddin sepatutnya mengangkat sumpah esok dan Dewan Rakyat yang bakal bersidang pada 2 Mac ini.
Kenyataan yang beredar juga meragukan kerana tidak mempunyai tandatangan Setiausaha Agung Bersatu.
UMNO dan Pas sepakat mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan untuk perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Demikian kenyataan media yang ditandatangani bersama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan hari ini.
“UMNO (dengan 39 Ahli Parlimen) dan Pas dengan 18 Ahli Parlimen) selaku gabungan Muafakat Nasional telah bersetuju untuk mencalonkan Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh (BERSATU) sebagai Perdana Menteri Ke-8 untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Tambah kenyataan tersebut, ini bermakna seramai 57 Ahli Parlimen UMNO dan PAS memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin.
Sementara itu Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga dalam satu kenyataan hari ini berkata, selain 39 Ahli Parlimen UMNO, tiga Ahli Parlimen dari komponen BN; dua Ahli Parlimen MCA dan satu dari MIC turut menyatakan pendirian yang sama menyokong pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Kelapan.
Istana Negara hari ini juga akan memberi peluang kepada parti-parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama bakal Perdana Menteri.
Ini dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.
“Pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Ahmad Fadil juga menyentuh mengenai temu bual yang berlangsung antara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan Ahli-ahli Parlimen yang berlangsung selama dua hari bermula Selasa di Istana Negara.
“Berdasarkan proses temu bual ini, Seri Paduka Baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu,” katanya.