Nasional

KPWKM peruntuk RM133.5 juta bagi program PDK

Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri,Β telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Replika Cek, Sijil dan Penyerahan Kerusi Roda kepada golongan sasar KPWKM, bertempat di Dewan JKK Sungai Kechil, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Dalam majlis ini, telah menyerahkan bantuan kewangan Kerajaan bernilai RM558,723.60 kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Puteri Gunung bagi menampung pemberian elaun pelatih OKU saguhati
penyelia dan petugas, sewaan premis dan utiliti.

Sehingga April 2024 sejumlah RM133,547,788.20 telah disalurkan oleh pihak Kerajaan kepada PPDK seluruh negara, manakala sejumlah RM8,430,313.80 disalurkan kepada PPDK seluruh negeri Pulau Pinang.

Bantuan kewangan ini adalah untuk memastikan program dan aktiviti harian PDK berjalan lancar termasuk program pemulihan dan pembangunan dengan penglibatan aktif keluarga dan masyarakat setempat.

Program PDK merupakan strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial orang kurang upaya (OKU).

Sehingga kini, terdapat sebanyak 570 buah PPDK di seluruh negara, dengan sebanyak 24 buah daripadanya adalah terletak di Pulau Pinang.

Terdahulu, Nancy turut menyantuni klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sungai Bakap, dan menyerahkan kelulusan bantuan kewangan Bantuan Pesakit Terlantar (BPT).

Beliau bersama Sukarelawan Khidmat Bantu Dirumah (KBDR) menyantuni klien JKM, seorang ibu tunggal warga emas yang tidak mampu menguruskan diri disebabkan masalah penglihatan dan kurang daya ingatan.

Berdasarkan rekod JKM, negeri Pulau Pinang mempunyai seramai 32 orang Sukarelawan KBDR, bersedia membantu warga emas yang memerlukan.

Kementerian melalui JKM sentiasa berusaha untuk memberikan komitmen yang jitu ke arah pembangunan dan pemerkasaan golongan sasar Kementerian bagi memastikan kesejahteraan dan seterusnya meneroka potensi bagi menyumbang kembali kepada masyarakat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button