Nasional

KPDNHEP perluaskan REDI kepada peniaga luar bandar

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Runcit (REDI) akan diperluaskan kepada peniaga luar bandar seperti yang dilaksanakan di Kapit dan Hulu Terengganu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perubahan dalam transaksi peruncitan itu digerakkan sejajar dengan Program Jualan Malaysia.

“Ini bertujuan merancakkan aktiviti membeli belah sekaligus memberi manfaat kepada peniaga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata,Program Jualan Malaysia dilaksanakan menerusi pelbagai segmen seperti perayaan, segmen khas Back 6 To School, Hari Sukan Negara serta Jualan Keluarga Malaysia pertengahan tahun dan akhir tahun.

Dalam mengumumkan tema “Keluarga KPDNHEP Melangkah Bersama” untuk mencapai tiga sasaran yang ditetapkan, Alexander berkata, KPDNHEP telah berjaya memberi geran penuh dan geran padanan.

Katanya, geran berjumlah RM4.5 juta  itu di bawah Program Pembangunan Francais Makro & Francais Mampu Milik melibatkan 37 penerima geran.

“Selain itu, sasaran untuk menurunkan harga kit ujian pantas antigen COVID-19 berjaya dicapai tanpa perlu meminda harga kawalan walaupun ada pihak yang meminta tetapan harga kawalan kit ini diturunkan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, kita berjaya menurunkan harga kit ini melalui kuasa pasaran dan akses pembelian yang lebih banyak, katanya.

Difahamkan kit ujian kendiri pada masa ini boleh didapati di 7,842 premis seluruh negara dengan harga RM5.90.

Dalam kenyataan yang sama, kata Alexander lagi, pada tahun ini, Kerajaan akan merancakkan pemulihan ekonomi dengan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Bajet 2022.

“Dengan semangat keterangkuman yang sama, fokus terus diberikan kepada inisiatif pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang mana inisiatif ini amat dekat di hati saya.

“Selain itu, usaha menstrukturkan semula ekonomi akan diteruskan dengan tumpuan kepada peningkatan nilai dagangan termasuk nilai dagangan borong dan runcit, mengurangkan kadar penganguran serta kemasukan pelaburan langsung asing,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button