KPDNHEP Melaka kesan antara 100 hingga 200 pemborong, peruncit tidak jual minyak paket
Wartawan Suara Merdeka
JASIN 7 Julai – Sebanyak 100 hingga 200 premis pemborong dan peruncit dikesan tidak menjual minyak paket bersubsidi bagi pasaran di negeri ini menyebabkan bekalan kepada pengguna didapati berkurangan.
Mendedahkan perkara tersebut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata, situasi itu dikenal pasti oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka.
Menurutnya, pemantauan berterusan sedang dilakukan penguatkuasa KPDNHEP terhadap premis berkenaan dalam usaha memastikan mereka mematuhi peraturan agar bekalan sampai kepada peruncit untuk dijual kepada pengguna.
Beliau berkata, pemeriksaan dibuat di semua peringkat termasuk pembungkus diaudit bagi memantau edaran dan rantaian minyak paket itu tidak disorok serta berada di pasaran hingga tidak wujud berlaku kekurangan bahan itu.
Jelasnya, bekalan minyak paket di negeri ini tidak sepatutnya berlaku kekurangan kerana kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 1800 tan metrik untuk kegunaan isi rumah dan peniaga kecil di negeri ini.
“Penguatkuasa KPDNHEP telah mengenal pasti antara 100 hingga 200 premis pemborong dan peruncit yang dikatakan tidak menjual minyak paket sebab itu pemutihan sedang dijalankan bagi memastikan edarannya sampai kepada peruncit.
“Kita akan lihat bagaimana ketirisan minyak paket ini boleh berlaku hingga kurang berada di pasaran sedangkan bekalan untuk negeri ini sebanyak 1800 metrik tan cukup untuk kegunaan harian.
“Saya memberi amaran kepada pemilik premis supaya berhati-hati jika mereka engkar dan kita ada bukti, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka dengan mengenakan kompaun,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan di Pasar Awam Jasin dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut Hee Sem berkata, penguatkuasa KPDNHEP juga turut mengesan syarikat perniagaan dan restoran berskala besar yang masih membeli minyak masak paket dengan kuantiti yang banyak.
Menurutnya, masih ada ada syarikat terbabit yang masih berdegil serta tidak memahami larangan untuk mereka daripada membeli minyak paket itu.
“Setakat ini, kita belum dapat bukti terhadap mereka yang terlibat dan jika ada bukti kita tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun dan tiada kompromi untuk mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, kalau ikut undang-undang sebenarnya minyak masak paket itu hanya untuk kegunaan isi rumah atau kegunaan domestik dan bukan untuk restoran atau perniagaan yang besar menggunakan minyak bersubsidi ini.