Berita

KPDN tegaskan kepada peniaga Vape perlu ada perakuan dari SIRIM

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan semua penjual peranti rokok elektronik atau vape agar mendapatkan kebenaran atau perakuan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Malaysia (SIRIM).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, menyatakan bahawa KPDN akan bekerjasama dengan SIRIM bagi memastikan pengeluaran peranti rokok elektronik mematuhi piawaian yang telah ditetapkan, melalui perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

“Kami menerima laporan dan kebimbangan daripada beberapa pihak. Apa yang ingin saya tegaskan ialah bidang kuasa KPDN berkaitan dengan Akta Perihal Dagangan 2011. Terdapat perintah khusus berkenaan peruntukan dan penandaan peranti rokok elektronik yang dikeluarkan pada 2022. Untuk menguatkuasakan perintah tersebut, kami akan bekerjasama dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd,” katanya dalam sidang media semasa Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2024, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan tentang penjualan rokok elektronik yang menyerupai pen penanda (marker pen) atau pelekat serbaguna seperti UHU, yang menimbulkan kebimbangan kerana boleh mengelirukan penjaga serta guru.

Mulai 3 Ogos 2022, pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik diwajibkan untuk membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd. Penandaan MS SIRIM harus diletakkan pada peranti rokok elektronik, alat gantinya, atau pada bekas peranti yang disediakan, dan ia mestilah mudah dilihat oleh pengguna. Ini bagi memastikan bahawa peranti tersebut mematuhi piawaian keselamatan dan sesuai untuk digunakan.

Dalam pada itu, Datuk Armizan turut mengingatkan para peniaga agar tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan yang diperbuat daripada gula putih bertapis, susulan pengumuman kerajaan untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa sebanyak 40 sen seliter mulai 1 Januari tahun depan.

“Saya rasa kita boleh hidup tanpa mengambil gula berlebihan, dan itu adalah sebahagian daripada dasar yang diumumkan oleh kerajaan. Jadi, saya harap tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan yang tidak berkaitan dengan dasar tersebut,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar duti eksais bagi minuman bergula sebagai langkah sokongan kepada kempen War On Sugar yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 29 Jun lalu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button