Korban lembu wagyu: Ramai yang kecam, ada yang berminat
SEJAK dilancarkan semalam, tawaran lembu wagyu dari Jepun sebagai haiwan korban sempena Hari Raya Haji oleh Asia Harvest Agro telah menarik perhatian ramai.
Bukan sahaja kerana daging lembu tersebut yang berkualiti tinggi dan terbaik di dunia tetapi juga kerana harganya yang amat mahal hingga hanya golongan tertentu sahaja mampu untuk melakukan ibadah korban menggunakan lembu wagyu.
Menurut Pengarah Asia Harvest Agro Najib Jalil, sehingga hari ini pihaknya menerima lebih daripada 50 panggilan bertanyakan mengenai korban lembu wagyu tersebut yang ditawarkan dengan harga Rm29,999 satu bahagian.
Najib berkata, ramai juga yang mengecam idea lembu wagyu sebagai haiwan korban kerana harga binatang tersebut yang amat mahal.
Namun bagi pihak Asia Harvest Agro, mereka hanya ingin membantu mereka yang mahu melaksanakan ibadah korban dengan haiwan yang terbaik.
“Kita baru lancar semalam. Hari pertama memang terima kecaman daripada netizen. Memang pihak kita sudah bersedia.
“Bab kecaman ni kita tidak boleh tutup mulut orang. Niat kita nak buat. Kita tahu kita tak buat benda yang salah. Yang paling penting kita nak membantu orang buat ibadah korban dengan haiwan yang terbaik sekali.
“Orang kata ini riak. Riak itu kita tidak boleh nilai, hati orang macam mana kita nak tahu,” kata Najib ketika dihubungi Suara Merdeka.
Menurutnya, idea untuk menjadikan lembu wagyu sebagai haiwan korban datang apabila memikirkan antara syarat haiwan untuk menjadi korban adalah ternakan yang sempurna.
Tambahan pula kata Najib, Asia Harvest Agro mempunyai ekses rumah penyembelihan halal dan bekalan lembu hidup wagyu di Jepun yang diiktiraf oleh pihak agama Islam Malaysia.
Menurutnya, Asia Harvest Agro yang berpusat di MAEPS Serdang sememangnya telah lama menjadi penjual dan pengedar daging wagyu di Malaysia.
“Kami memang menjual wagyu. Kita mempunyai ekses ke rumah sembelihan halal di Jepun yang diiktiraf oleh jabatan agama Islam.
“Kita tengok benda macam ini banyak orang sibuk hendak korban yang murah dari luar negara. Ya memang tak salah. Tetapi kategori tuntutan korban itu binatang terbaik.
“Dari situ kita terpanggil untuk buat lembu wagyu lembu yang terbabaik di dunia ini sebagai haiwan korban dengan ekses dan kapasiti yang kita ada,” jelas Najib.
Menurutnya lembu wagyu berkenaan akan dikorban dan disembelih di Jepun pada hari tasyrik iaitu pada 10, 11,12 dan 13 Zulhijah.
Peserta di Malaysia akan menerima daging wagyu yang siap diproses pada bulan Zulhijah juga untuk diberikan kepada orang ramai.
Mereka yang berminat untuk melakukan korban lembu wagyu boleh hubungi Najib di talian 017-4875512.-SM