Kor Ming akan berundur secara terhormat jika disingkirkan
TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming akan berundur secara terhormat daripada jawatan tersebut sekiranya disingkirkan.
Kor Ming dalam satu wawancara bersama dengan media bahasa Cina berkata, beliau tidak akan duduk walau lebih dari seminit jika disingkirkan menerusi usul yang dibawa kerajaan Perikatan Nasional pada sidang Parlimen pada 13 Julai ini.
“Kami akan biarkan dewan tentukan, kami akan hormati keputusan Dewan Rakyat. Jika kami disingkirkan, kami akan berundur secara terhormat.
“Saya benar-benar berharap Dewan Rakyat akan bersidang secara terhormat Isnin ini,” kata Ahli Parlimen Teluk Intan itu.
“Jika ia berlaku, maka ia satu penghinaan kepada Parlimen. Jangan bimbang, jika Dewan Rakyat meluluskan usul yang kami harus berundur, saya tidak akan duduk walau lebih seminit (sebagai timbalan speaker),” katanya berdasarkan rakaman audio yang diperolehi Malaysiakini.
Kor Ming berkata, dia tidak meletakkan jawatan sehingga sekarang kerana kedudukan itu diputuskan oleh cabang legislatif dan bukannya eksekutif.
“Kami tidak mengambil arahan daripada perdana menteri. Speaker ada tanggungjawab untuk menegakkan martabat cabang legislatif,” katanya.
Media melaporkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin telah menghantar notis mencalonkan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua baru, manakala Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dicalonkan sebagai timbalannya.-SM