Nasional
Konvokesyen ke-25 UPSI jana pendapatan daerah Muallim dan Perak
MAJLIS Istiadat Konvokesyen Ke-25 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung selama lapan hari bermula dari 22 November 2023 dan melabuhkan tirai semalam memberi limpahan ekonomi yang lumayan kepada warga Daerah Muallim dan Negeri Perak.
Naib Canselor , Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata istiadat tersebut berjaya menarik lebih 60 ribu orang pengunjung ke Daerah Muallim.
Kajian awal, katanya, mendapati kehadiran pengunjung yang ramai ini telah menjana pulangan pendapatan ekonomi melebihi RM 5 juta, yang disumbangkan melalui perbelanjaan penginapan, makan minum, pembelian cenderahati, pelancongan, khidmat sokongan dan lain-lagi.
Tambah beliau, penganjuran Istiadat konvokesyen selama lapan hari ditindik dengan 7616 mahasiswa yang bergraduat, serta pengisian program Pesta Konvokesyen yang mantap menjadi daya penarik utama kepada pengunjung.
Beliau berkata satu kajian akademik akan dilaksanakan oleh Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) untuk mengenal pasti elemen dan impak ekonomi yang lebih terperinci terhadap penganjuran istiadat ini.
“Hasil kajian ini kemudiannya dapat digunakan oleh Kerajaan Negeri dalam mengenalpasti impak ekonomi dari penganjuran acara dan pelancongan, sekali gus mempersiapkan diri bagi menghadapi Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal & Pelajar) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata peniaga-peniaga makanan berpeluang menjana pendapatan berlipat kali ganda siang dan malam dengan pelbagai makanan berbanding dalam suasana biasa di sekitar daerah Muallim.
“Begitu juga semua penginapan yang disediakan oleh hotel termasuk Scholar’s Suites, serta inapan desa (homestay) habis ditempah keluarga graduan beberapa bulan sebelum konvokesyen berlangsung,” katanya.
Selain penjual bunga di tepi-tepi jalan, khidmat studio rakaman gambar serta penjual cenderamata juga laris menjual produk mereka.
UPSI, katanya, seperti biasa mengadakan Pesta Konvokesyen (PESKON) di Dataran Cemerlang Bersama , Kampus Sultan Azlan Shah juga menjadi tarikan apabila menampilkan figura tanah air seperti Zamani Slam, dan Ustaz Kazim Elias.
“Saya menjangkakan UPSI dan masyarakat usahawan daerah Muallim dapat menjana pendapatan yang baik daripada penganjuran majlis konvokeysen ini sekali gus hasilnya dapat dimanfaatkan untuk menyediakan pelbagai kemudahan menarik dan lengkap untuk menarik masyarakat berkunjung ke universiti yang terkenal dengan kecantikannya ini,” katanya.
Selain itu, katanya, UPSI dapat menjana pendapatan dari sewaan 80 gerai jualan dan penajaan lebih RM300k sekali gus dapat dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti mahasiswa.
Sekitar Daerah Muallim, katanya, mempunyai banyak air terjun dan jeram serta sungai yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa sekali gus menjadi tumpuan masyarakat menjalankan aktiviti perkelahan selain pacuan empat roda. -SM