Nasional

Kontak Rapat Kes Positif Covid-19 Tak Perlu Hadir Ke CAC – Khairy

Berikutan peningkatan kes Covid-19, Kementerian Kesihatan (KKM) mengaktifkan semula National Covid-19
Rapid Response Task Force (RRTF) sebagai langkah persediaan menghadapi gelombang Omicron.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata tujuan jawatankuasa khas itu diwujudkan adalah untuk melaksanakan tindakan pantas mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan.

“Antaranya tindakan awalan pantas berkenaan adalah menambah dan mengubah suai katil bukan Covid-19, membina hospital medan dan penyumberluaran pesakit ke hospital swasta.

“RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Asmayani Khalib yang akan membuat pelaporan terus kepada saya,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Selain itu, Khairy berkata KKM telah bersiap sedia dengan 120 hospital, sembilan hospital penuh Covid-19 dan 111 hospital hibrid serta 43 Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 10,810 buah katil setakat semalam.

Khairy juga memaklumkan semua klinik kesihatan bersedia menerima kedatangan pesakit yang tinggi susulan gelombang Omicron dengan 370 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Klinik Kesihatan dan komuniti beroperasi bagi membuat penilaian pesakit positif Covid-19, setakat hari ini.

CAC antaranya berfungsi mengenal pasti pesakit yang memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah, menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan dan menyelaras pesakit yang perlu dirujuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital.

Mengenai kontak rapat kepada kes posifif Covid-19, Khairy berkata individu berkenaan tidak perlu hadir ke CAC dan melakukan ujian saringan COVID-1g sekiranya tidak mengalami sebarang gejala.

“Kontak rapat akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital
dan hanya perlu jalani kuarantin di kediaman.

“Sekiranya bergejala, perlu lakukan ujian kendiri. Jika positif dan berada dalam kategori 2A, teruskan pengasingan di tempat kediaman tanpa perlu hadir ke CAC,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes positif Covid-19 dalam kategori 1 dan 2A serta tidak berisiko tinggi, tidak perlu hadir ke CAC namun perlu melakukan pemantauan kesihatan kendiri dengan melakukan pemantauan kesihatan harian kendiri menerusi aplikasi Mysejahtera.

Individu positif bagi kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mengalami simptom yang semakin teruk pula dikehendaki hadir ke CAC atau hospital berhampiran bagi pemeriksaan lanjut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button