Hiburan

Konsert Romantika Awie bermain emosi

Persembahan pecah panggung

SELAMA 35 tahun Ahmad Azhar Othman atau nama pentasnya Awie menjadi anak seni sebagai penyanyi, sebagai pelakon.

Melangkah jauh dan terlalu jauh dalam bidang seni, segala kisah Awie yang kini bergelar Datuk, adalah rahsia terbuka atau open secret.

Kerjaya yang dibinanya disulam dengan kisah peribadinya, percintaan dalam layar perak yang terbabas sehingga ke luar layar perak, menjadi lipatan memori Awie dan para peminat tegar seusianya ataupun yang dewasa dengan lagu-lagu dendangan beliau.

Malam ini, secara spontan dan sporting, Awie menampilkan bekas dambaan jiwanya suatu ketika dahulu di atas pentas yang disaksikan oleh ratusan peminat Awie dan Erra Fazira yang memenuhi tempat duduk dalam Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.

Sketsa yang dipentaskan oleh pasangan hero dan heroin layar perak yang meletup namanya di tangan sutradara Datuk Yusof Haslam mencuit hati hadirin tetapi bagi kalangan media yang mengetahui kisah benar percintaan yang pernah terjalin di antara dua hamba Allah ini, biarlah ia disimpan kemas dalam memori wartawan-wartawan hiburan.

Konsep Konsert Romantika Awie ringan, menghiburkan, mencuit hati dan penuh bermakna.

Secara tidak langsung, mengimbau kenangan yang pernah dicatat sewaktu gandingan Awie-Erra di kemuncak.

Bagi kalangan penonton yang tidak mengetahui kisah di sebalik perhubungan yang ditakdirkan tidak sampai ke jenjang pelamin, agak terkejut apabila mengetahui hero dan heroin filem Melayu alaf baharu ini adalah pasangan merpati dua sejoli.

Kejutan Konsert Romantika Awie bukan hanya sambutan baik yang diberikan oleh peminat menerusi tafsiran kehadiran yang ramai tetapi sambutan Hari Lahir Erra Fazira malam ini.

Seleksi pemilihan lagu-lagu dendangan Awie, mesra halwa telinga dan semua yang hadir boleh sama-sama menyumbangkan suara.

Ya Awie. Tarik suara tinggi. Tetap boleh tarik. Tidak terkucil, tidak pancit dalam usia Awie hari ini.

Romantika Awie turut mendapat sokongan para penaja, pelbagai penaja termasuk hotel-hotel berprestij di ibu negara.

Kata Awie, dia ‘menangis’ bukan kerana putus cinta tetapi lagu-lagunya bernada tinggi.

Sambil mengepit kedua-dua kakinya dengan senda gurau buasir nyanyi tarik tinggi-tinggi suara, lagu wajib Tragedi Oktober didendangkan Awie.

Medley lagu-lagu romantis turut diselitkan dan disampaikan oleh Awie sebelum lagu Tragedi Oktober.

Awie tetap di hati peminat, Erra Fazira sentiasa dalam sanubari peminat.

Selepas satu jam setengah persembahan, Erra muncul kembali atas pentas.

Ya, Erra bekas Ratu Cantik yang pernah singgah di hati Awie, memberikan lakonan sketsa.

I datang nak pujuk you.

Nak pujuk apa lagi. Dah lapan tahun, nak apa lagi Awie?

Anak dah dua.

Erra please lah…

You bergelek. Bukan ke you mat rock.

Boleh la.. Boleh..

Boleh blah, kata Erra.

Talk to my hand.

Awie pujuk nyanyi lagi. Segmen dangdut, bollywood untuk menghidupkan lagi Konsert Romantika Awie agar persembahan ini berwarna warni.

Namun, apa yang Awie nak tunjukkan pada konsertnya kali ini ialah beliau juga boleh membawakan lagu-lagu bukan genre rock.

Kata Erra, I tak sampai hati tengok you menari. Naik bulu roma I. Tapi… ini semua poyo.

Mercu tanda Awie apa ya? Apa lagi kalau bukan motor. Bukan motor berkuasa tinggi di atas pentas tetapi motor kapcai.

Ini segmen jenaka oleh Joey dengan pelawak wanita dari seberang, Vicha atau Refika Novianti Faturohman serta Khir Rahman.

Awie muncul kembali di atas pentas. Kali ini dengan motorsikal Harley Davidson nya.

Itulah Awie. Pengalaman, pendedahan, berada di puncak kerjaya seni, membina mahligai kehidupan, hancur berkecai, bangkit semua…asam garam insan seni, Awie.

Erra Fazira, ada persamaan tetapi tidak serupa dengan liku-liku perjalanan bekas jantung hatinya itu.

Kehadiran Erra bukan sebagai bunga penyeri pentas tetapi penampilan sang Ratu Cantik kali ini memukau dan mempesonakan dengan lontaran suara yang amat bagus.

Ya, Erra berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang yang selayaknya bergelar penyanyi.

Romantika Awie – syabas Awie, team produksi, barisan pemuzik, penyanyi latar, team promosi dan Erra Fazira.

Penutup konsert, lagu pertama dan terakhir Awie dan Erra, Jangan Pisahkan yang dipopularkan oleh allahyarham Deddy Dores.

Taksiran kacamata saya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button