Konsert Festival Good Vibes 2023 dibatalkan serta-merta – Fahmi Fadzil
Penganjur konsert Festival Good Vibes gagal membuat penyelidikan awal tentang risiko membawa masuk band yang memperjuangkan agenda LGBT yang terkutuk.
Maka usahlah penganjur boleh kata terkejut dengan tindakan Matty Healy dari The 1975 yang selamba bercium mulut dengan pemain bassnya di atas pentas.
Namun tindakan pantas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil wajar dipuji kerana tegas menjunjung prinsip kedaulatan negara yang menolak budaya songsang itu.
“Saya telah memanggil penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia, susulan aksi dan kenyataan sangat biadab yang dipamerkan oleh artis dari UK “The 1975” di Sepang malam tadi.
“Ingin saya tegaskan, pendirian Kerajaan Perpaduan amat jelas. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, Fahmi turut mengarahkan PEMBATALAN SERTA MERTA baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai.
“Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket. Sehubungan itu, saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket.
“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara. Walau bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” katanya.
Biar pun ramai di antara golongan muda-mudi berpendapat sewajarnya hanya band berkenaan diharamkan, bukannya penganjur, mereka tidak melihat perkara ini secara meluas.
Kerajaan mempunyai kuasa untuk menyekat dan mengharamkan sebarang kelakuan laknat yang sengaja membakar kemarahan umat Islam di negara ini.