Hiburan

Konsert 4G’s: Inikah yang peminat muzik nantikan?

Black, Tomok, Hazama dan Akim

Konsert 4G’s: Inikah yang peminat muzik nantikan?

SELAMA dua hari berturut-turut, Panggung Sari di Istana Budaya Kuala Lumpur akan bergema dengan persembahan empat artis lelaki yang bergabung bagi menjayakan sebuah persembahan bertaraf konsert, Konsert 4G’S.

Istana Budaya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat penggemar muzik dah penyanyi yang memilihnya sebagai pentas persembahan.

Kali ini, pada 17 April dan 18 April, Black, Tomok, Akim dan Hazama tampil bersama menerusi Konsert 4G’s.

Mungkin konsert yang bakal diadakan nanti, meletakkan satu tanda aras baharu pada artis-artis tanah air lain yang mendambakan untuk mengadakan persembahan berupa konsert.

Konsert 4G’s dibawakan oleh Belbis Sdn. Bhd., yang bertindak bukan sahaja sebagai penganjur tetapi juga selaku penerbit konsert.

Belbis memang mempunyai track record sebagai penganjur persembahan artis dalam dan luar negara dan kali ini, untuk tahun 2020, selepas Konsert Radja, kumpulan dari Indonesia, tidak kesampaian untuk direalisasikan, mereka tampil dengan usaha untuk meletak empat penyanyi lelaki tanah air di atas pentas Panggung Sari, Istana Budaya.

Sejauh manakah persembahan keempat-empat artis lelaki ini mampu menarik peminat untuk memenuhi dua malam berturut-turut, dihiburkan dengan rendasi lagu-lagu terbaik daripada Black, Tomok, Akim dan Hazama.

Sememangnya tidak dinafikan keempat-empat penyanyi yang dipertaruhkan pada Konsert 4G’s mempunyai vokal dan lagu-lagu mesra telinga dan menjadi hafalan peminat.

Cuma apakah Konsert 4G’s ini boleh menjadi konsert ‘pembuka tirai’ Tahun Baharu 2020 dengan catatan jualan tiket pecah panggung.

Harapannya mentaliti peminat sudah berubah, tidak lagi menyokong persembahan penyanyi secara percuma. Sebaliknya, membeli tiket-tiket yang dijual supaya penyanyi merasakan diri mereka dihargai.
Setiap artis yang muncul mengadakan persembahan yang didakwa sebagai konsert di Istana Budaya, akan memberikan kelainan.

Pastinya persembahan keempat-empat penyanyi lelaki akan dibuat secara solo atau individu dan akan ada juga persembahan gabungan empat suara.

Atau mungkin paduan suara dua artis lelaki, dua set. Mungin Black dan Hazama, Tomok dan Akim atau Hazama dan Tomok, Akim dan Black atau mengikut kesesuaian yang diatur.

Artis dan penganjur konsert perlu berfikir di luar kotak tetapi agak boleh dijangka, Black, Tomok, Hazama dan Akim akan menyanyi single pertama kolaborasi mereka pada malam persembahan.

Apapun bagi para peminat keempat-empat penyanyi, sokonglah dan jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Konsert 4G’s.

Tiket berharga RM98 sehingga paling mahal, RM988 boleh dibeli menerusi www.airasiaredtix.com.
Sesiapa yang membeli tiket paling mahal, tempat duduk istimewa disediakan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button