Komplot bentuk kerajaan baharu, siapalah Hisham?
SUARAMERDEKA: Setakat ini hanya tuduhan pemimpin DAP, PKR dan cakap-cakap orang Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sahaja tentang gerakan untuk membawa Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan menyertai para pemimpin UMNO, Pas dan parti-parti Melayu lain bagi membentuk kerajaan Melayu Islam.
Sedangkan tidak ada sepatah pun keluar dari mulut Dr. Mahathir sendiri atau orang-orang beliau berhubung komplot tersebut.
Bagaimana pula dengan pihak yang berkepentingan di Sabah dan Sarawak. Apakah mereka tidak langsung signifikan dalam komplot tersebut.
Orang Hisham memang boleh mendakwa bacaan meter politik pemimpin pada masa ini kelebihan berada di tangan Hishammuddin, walaupun hakikatnya tidak semestinya benar.
Jadi apabila bekas naib presiden UMNO itu sekali lagi berkata beliau tidak memiliki pengaruh politik untuk merancang plot mengekalkan Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, sekaligus menghalang Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menggantinya ia adalah lojik.
Oleh itu orang-orang Anwar pula tidaklah perlu ghairah menyerang Hishammuddin membabi buta.
“Siapa saya untuk tentukan Anwar jadi perdana menteri atau tidak? Saya bukan pemimpin kerajaan. Malah jawatan tertinggi dalam UMNO dan BN pun tiada.
“Mereka kata saya pengaruhi 30 ahli parlimen pembangkang untuk masuk Pakatan Harapan (PH) demi mempertahankan Mahathir sebagai perdana menteri…Siapalah saya untuk pengaruhi ahli parlimen…Mereka wakil rakyat dan pemimpin. Ini penghinaan terhadap kami semua.
“Kalau ya pun terdesak sebab masalah dalaman anda sudah huru-hara sangat, takkan dengan saya yang tiada apa-apa jawatan pun rasa tergugat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.