Politik

Penduduk Kampong Bharu tidak berminat tawaran baru?

SUARAMERDEKA: Pihak yang mengawal selia tanah di Kampong Bharu, Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) memberitahu mereka sudah mengetahui lebih awal akan harga yang ditawarkan oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan rata-rata penduduk tidak berminat dengan tawaran yang diumumkan.

Menurut Pengerusi Lembaga MAS, Haji Shamsuri Suradi, harga RM1,000 untuk setiap sekaki persegi telah diketahui dan penduduk Kampung Bharu rata-rata masih tidak berganjak dengan keputusan mereka sebelum ini.

Beliau mengulas mengenai tawaran yang dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad hari ini yang mengumumkan kadar harga baru tanah Kampong Bharu berjumlah RM1,000 sekaki persegi.

Pengumuman itu dibuat Khalid dalam satu sidang media selepas melakukan perbincangan dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan kemelut pelan pembangunan kampung itu.

Tawaran itu juga disifatkan oleh Khalid sebagai yang terakhir dan terbaik oleh kerajaan.

“Menteri sepatutnya memberi beberapa tawaran seperti usahasama dengan syarikat swasta atau menyewakannya (leasing). Namun kerajaan tidak bertindak bijak dlm menangani isu pembangunan di Kampong Bharu dan mereka sepatutnya berfikiran seperti ahli perniagaan (Business Oriented) namun sekali lagi tawaran yang diberikan tidak jelas.

“Rata-rata penduduk kurang berminat kerana pemilik tanah mahukan pembangunan dan bukan dijual atau dibeli oleh kerajaan kerana mereka memikirkan kemana mereka akan pergi selepas menjual tanah ini,” katanya ketika dihubungi Suara Merdeka.

Ujar beliau lagi, pemilik tanah di Kampong Bharu tidak menolak pembangunan tetapi biarlah hasil dan pemilikan tanah tersebut di perolehi kekal selamanya.

“Mereka juga masih bertanya andai kata tanah dijual bila boleh dapat duit penjualan tersebut sama ada dalam masa tiga bulan atau lebih lama. Mereka juga bertanya apakah masih dikenakan potongan cukai atau bayaran guman. Ini semua perlu jelas supaya penduduk tidak berterusan tertanya-tanya bagaimana sebenarnya pengakhiran mereka,” kata Shamsuri lagi.

Sebelum ini pihak media melaporkan pemilik tanah di Kampong Bharu ditawarkan harga RM850 setiap kaki persegi atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi untuk pembangunan semula.

Harga itu tidak termasuk nilaian harga struktur bangunan di atas tanah yang akan dikaji semula oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Khalid dalam sidang medianya juga berkata, daripada 2,500 borang maklum balas yang dikeluarkan ketika sesi pertemuan bersama penduduk pada Sept, seramai 1,371 maklum balas dikembalikan dan daripada jumlah itu, katanya 96 peratus menyatakan persetujuan mereka.

Tarikh akhir bagi penyerahan borang maklum balas itu ditetapkan pada 30 Nov ini.

(Visited 62 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button