Nasional

Kompaun terus sesiapa langgar SOP, tiada beza rakyat atau “kayangan”

Polis perlu mengeluarkan kompaun serta-merta terhadap mana-mana individu termasuk orang kenamaan seperti selebriti dan ahli politik yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat yang kerajaan seolah-olah memberi layanan istimewa kepada golongan berkenaan.

“Oleh kerana banyak isu berkaitan seolah-olah ada perbezaan antara ‘kayangan’ dengan bukan ‘kayangan’ dan walaupun ada tindakan dilaksanakan kepada yang dianggap ‘kayangan’ dan dikenakan kompaun, namun tidak dilakukan ‘on the spot’ (serta merta).

Kita berpandangan sesiapa sahaja terutama yang melibatkan VIP seperti selebriti dan ahli politik, kalau didapati ada pelanggaran SOP, pihak polis perlu keluarkan kompaun terus, tidak perlu tunggu sehingga berminggu-minggu untuk mendapatkan keputusan daripada Jabatan Peguam Negara dan sebagainya kerana di dalam akta, mereka boleh mengeluarkan kompaun di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri tiada individu sama ada yang berstatus kenamaan mahu pun rakyat yang kebal daripada tindakan undang-undang.

Mengulas mengenai tindakan untuk menutup sektor perkilangan, beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan penambahbaikan dari segi penilaian untuk mengesan kilang yang melanggar SOP.

Katanya setakat ini sejumlah 70 kilang diarah tutup kerana didapati melanggar SOP dan perintah yang dikeluarkan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata meskipun negara kini dalam tempoh darurat kesihatan, pelaksanaan PKP 3.0 memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatur strategi sekiranya jumlah pesakit COVID-19 meningkat secara mendadak.

Sehingga kini beliau berkata penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) mencecah 500 dan menjangkakan jika kes meningkat secara mendadak pada akhir bulan Mei atau pertengahan Jun, KKM memerlukan lebih 1,700 katil ICU bagi menampung jumlah pesakit.

“Dengan menggunakan ordinan darurat ini kita boleh tangguhkan pilihan raya umum, pilihan raya kecil atau pilihan raya regeri (PRN). Kita lihat implikasi PRN Sabah.

PKP 3.0 dilaksanakan untuk membantu KKM dan supaya rakyat boleh duduk di rumah bagi mengawal wabak ini dalam tempoh dua atau empat minggu,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button