Komik: Maszlee sudah tanya Timbalan Menteri?
Tindakan Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang mengarahkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar menyiasat isu berhubung pengedaran komik propaganda di sekolah turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib melontarkan persoalan sama ada Maszlee telah bertanya mengenai pengedaran komik Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama itu kepada timbalan beliau, Teo Nie Ching.
Dalam satu hantaran di Facebook, Najib berkongsi status, Hew Kuan Yau yang memaparkan gambar Kurator Muzium Kebudayaan dan komik Asia itu serta Nie Ching sedang memegang komik yang kini menjadi isu kontroversi.
“Maszlee nak siasat anggota dalaman? Ye, ke? Maszlee dah tanya Timbalan belum?
“Saya tengok Timbalan dia kunci mulut sepanjang tempoh sejak kontroversi komik propaganda ini tercetus. Kenapa ya?,” tanya Najib.
Maszlee hari ini telah mengarahkan KPM menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan pengedaran komik kontroversi di sekolah menengah seluruh negara baru-baru ini.
Menurut beliau, KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan itu akan diberi tindakan tegas.
Maszlee berkata, KPM tidak pernah memberi kelulusan dalam pengedaran sebarang komik propaganda politik dan sekolah yang menerima komik tersebut diarahkan untuk tidak disebarluaskan.
Maszlee turut menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat “rule of law” dan juga “collective responsibility”.
Sebelum ini, seramai 43 pemimpin akar umbi DAP, termasuk beberapa Adun parti itu membantah larangan pengedaran komik itu ke sekolah.
Kenyataan tersebut ditandatangani lima Adun iaitu Phoong Jin Zhe (Adun Luyang), Chiong Yoke Kong (Adun Tanah Rata), Chow Yu Hui (Adun Tras), Lee Chin Chen (Adun Bilut) dan Leong Yu Man (Adun Triang).
Bahan itu diterbitkan hasil kerjasama antara Hew Kuan Yau dengan artis tempatan Chong Po Ling.
Ia diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu, Melayu, Cina dan Bahasa Inggeris.
Komik mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan China itu mengandungi cerita yang cenderung terhadap republik itu dan menggambarkan Melayu yang menyokong etnik Uighurs sebagai radikal.
Kerajaan China telah menempatkan kira-kira 1.5 juta umat Islam Uighur di “kem pendidikan semula” yang didakwa perlu dilakukan demi memerangi ekstremisme Islam.
Layanan terhadap etnik Uighurs telah dikritik ramai pihak di negara demokrasi Barat seperti Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, Malaysia lebih banyak berdiam diri mengenai layanan China terhadap Uighurs.