Nasional

Kolej Tingkatan Enam akan diperkasa – Fadhlina

KOLEJ Tingkatan Enam akan diperkasakan melalui kerjasama silang antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha ke arag itu sedang giat berjalan bagi memastikan inisiatif memperkasakan Kolej Tingkatan Enam dapat direalisasikan.

Katanya, antara program khusus yang akan dilaksanakan tahun hadapan ialah Kolej Tingkatan Enam Premium.

“Bagi meneruskan kegemilangan dan menyambut hasrat kerajaan melihat tingkatan enam menjadi antara arus pendidikan utama pilihan anak kita, maka inisiatif-inisiatif penting antara lain untuk pastikan bahawa satu program khusus akan kita laksanakan.
“Kolej Tingkatan Enam Premium yang akan kita mula tahun hadapan akan memberi tumpuan kepada anak-anak Tingkatan Enam ini khususnya memastikan mereka ini diberikan keutamaan dalam konteks untuk memastikan dari segi hala tuju dan juga meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan di Tingkatan Enam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.
Fadhlina memberitahu, maklumat lanjut berhubung inisiatif berkenaan akan diumumkan selepas selesai proses penyelarasan.
Beliau berkata antara cadangan lain yang akan diperhalusi termasuklah pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam.
Terdahulu Fadhlina menyampaikan wang tunai bernilai RM1,000, plak serta sijil kepada 17 pelajar terbaik STPM 2023.
Keputusan STPM 2023 yang diumumkan hari ini mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional 2.84, tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan.
Selain itu seramai 1,116 calon atau 2.7 peratus meraih PNGK 4.00 dalam peperiksaan itu tahun lepas. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button